SANDAKAN: Kuasa autonomi UMNO Sabah untuk bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hanya terpakai untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) sahaja.
Demikian penjelasan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengenai kerjasama UMNO bersama gabungan parti dalam GRS menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“UMNO Sabah akan seiring dengan Pusat, kalau mereka sudah putuskan kerjasama (dengan Perikatan Nasional) maka, kita ikut.
“Kuasa autonomi UMNO Sabah dalam GRS untuk PRN Sabah sahaja. Untuk pilihan raya peringkat Parlimen, itu autonomi UMNO Pusat, itu perjanjian kita kerana yang akan menjadi Perdana Menteri bukan kami,” katanya semasa sidang akhbar selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kinabatangan, hari ini.
Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, UMNO Sabah masih belum memutuskan kerusi yang akan ditandingi kerana perkara itu bergantung kepada kehendak BN Pusat, jika mereka kata bertanding 25 kerusi maka, UMNO Sabah akan bertanding 25 kerusi.
Bung Moktar, yang juga Ahli Majlis Tertinggi (AMT) UMNO berkata, pada masa ini mereka sudah mengenal pasti calon-calon untuk PRU-15 dan awal Januari tahun depan, mereka akan melakukan tinjauan di semua Parlimen untuk melihat sokongan terhadap bakal calon yang akan diketengahkan.
Mengulas lanjut katanya, UMNO Bahagian Kinabatangan juga sudah membuat persiapan rapi dalam pembentukan jentera termasuk pelantikan ketua-ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM).
“UMNO Sabah mempunyai sistem yang jelas menerusi Jawatankuasa Urusan Pilihan Raya (Juara) yang akan menentukan pemilihan calon. Untuk bertanding perlu ada asas, jika tiada pengundi langsung macam mana mahu bertanding.
“Itu sebabnya kita kerahkan cawangan dan sayap parti untuk memanggil Jalinan Rakyat agar turun ke peringkat akar umni bagi mengenal pasti penyokong-penyokong yang masih setia bersama UMNO,” katanya.
Tambah beliau, UMNO perlu menyusun strategi baharu untuk mendekati pengundi muda yang berusia 18 tahun.
Pengundi muda kebanyakan masih bersekolah jadi, sudah tentu tidak boleh menerima banyak gangguan luar maka, pendekatan yang bersesuaian perlu diambil untuk mendampingi mereka.
Bung Moktar berkata, UMNO Sabah juga sedang membuat persiapan rapi untuk berhadapan dengan PRU-15 dengan menggerakkan semua jentera parti untuk menambat hati rakyat.
“Jentera-jentera parti harus meyakinkan rakyat bahawa UMNO atau Barisan Nasional (BN) adalah sebuah parti yang benar-benar ingin menerajui negara dengan cara dan strategi baharu serta meletakkan kepentingan negara dan rakyat sebagai keutamaan.
“Kita telah menjadi pemerintah dan pembangkang jadi kita tahu apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan untuk memastikan rakyat terus bersama-sama kita memperkasakan UMNO,” katanya. -UTUSAN ONLINE