PETALING JAYA: Ketua Polis Negara,Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani hari ini sekali lagi turun padang di Hulu Langat, Selangor bagi meninjau atur gerak penugasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama pasukan sahabat dalam membantu orang awam yang terjejas banjir.
Menerusi satu hantaran Facebook rasmi memaklumkan, bencana banjir yang menjejaskan beberapa negeri khasnya di Selangor itu diberi perhatian serius oleh PDRM yang berusaha membantu masyarakat selain menggerakkan kekuatan anggota dan asetnya ke beberapa buah kawasan.
Kata hantaran itu, kawasan Hulu Langat dekat sini adalah salah satu kawasan di Selangor yang paling teruk terkesan.
“Ekoran itu, beberapa buah batalion dari Briged Tengah, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Simpanan Persekutuan serta Ibu pejabat Polis Daerah (ipd) Kajang sendiri telah dikerahkan membantu operasi pasca banjir di situ,” jelas hantaran itu.
Yang turut serta dalam tinjauan itu ialah Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed: Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (PGA) Bukit Aman, Datuk Kasuahdi Ali dan Komander Briged Tengah, Senior Asisten Komisioner, Mohamad Abdul Halim. – UTUSAN ONLINE
Acryl Sani Abdullah Sani hari ini sekali lagi turun padang di Hulu Langat dekat sini bagi meninjau atur gerak penugasan PDRM di kawasan terjejas banjir. – UTUSAN ONLINE