JELEBU: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyediakan sebanyak RM5.4 juta peruntukan darurat bagi operasi pemulihan banjir di seluruh negara.
Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, peruntukan tersebut adalah untuk kerja-kerja pemulihan awam, kutipan dan pelupusan di lima negeri yang terjejas akibat banjir.
“Sebanyak RM5.4 juta disediakan bagi peruntukan darurat. Ia meliputi sebanyak RM2.7 juta kepada Selangor, RM2.8 juta kepada Pahang, RM145,196 kepada Melaka, RM23,684 kepada Negeri Sembilan manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak RM255,671.
“Di negeri Selangor tidak mempunyai butiran dan ia perlu ditambah bagi pasca pembersihan manakala di negeri Pahang kejadian berlaku agak luas dan kawasan agak jauh.
“Bagaimanapun di Negeri Sembilan dan Melaka pula sudah berada di bawah konsesi dan digunakan sebagai pertambahan pembelian aset. Saya juga ingin maklumkan sebanyak RM5.4 juta ini pada waktu sekarang dan berkemungkinan ada tambahan lagi seandainya ada keperluan,” katanya selepas Misi Pemulihan Pasca Banjir KPKT di Kampung Puom, Titi di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, beliau turut menyerahkan sebanyak 200 unit periuk nasi dan dapur memasak yang disumbangkan oleh Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) kepada penduduk yang terjejas banjir di kampung tersebut.
Sementara itu, beliau berkata, KPKT menerusi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) turut akan menambah tong roro bagi proses kutipan sampah terutama di Selangor.
“Kami turut membantu kawasan Hulu Langat yang paling teruk terjejas. KPKT akan menambah roro bagi mengutip sampah terutama di Selangor yang mempunyai lebih banyak sampah bagi pasca banjir ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE