KPD, kalau media telefon jawablah - Ayob Khan - Utusan Malaysia

KPD, kalau media telefon jawablah – Ayob Khan

AYOB Khan Mydin Pitchay menyampaikan cenderamata kepada Presiden Kelab Media Johor, Mohd. Fauzi Ishak sempena Majlis Apresiasi Ketua Polis Johor bersama Media Johor di IPK, Johor Bahru -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay memberi teguran kepada Ketua Polis Daerah (KPD) di negeri ini supaya memberi kerjasama dengan pihak media agar berita yang disampaikan kepada masyarakat awam adalah benar dan tepat.

Ayob Khan berkata, kerjasama antara kedua-dua pihak ini penting khususnya bagi mematahkan berita tular yang tidak tepat dalam media sosial yang menyebabkan orang ramai terkeliru dan salah tanggap.

Katanya, menerusi kerjasama itu, pihak media boleh berperanan membetulkan kembali fakta salah yang ditularkan oleh pihak tidak bertanggungjawab di mana-mana platform media sosial.

“Rakan media yang rasmi ini yang akan memperbetul semula fakta salah oleh pihak tak bertanggungjawab. Kalau kita menjarakkan diri dengan media, kita akan ketinggalan. 

“Kalau kita (polis) masih di kepompong lama apabila tidak berkongsi maklumat, media tidak akan dapat fakta yang betul dan apa yang ditularkan tidak dapat diperbetul. Contoh dalam kejadian banjir baru-baru ini, banyak fakta salah yang ditularkan. Jadi, berinteraksilah dengan media, uar-uarkan kejayaan kita.

“Zaman sekarang adalah zaman persepsi. Sekiranya fakta salah yang tular itu lambat untuk diperbetul, kita menghadapi kesukaran ledakan sosial media ini. Jadi, kalau media telefon, jawab. Maklumkan apa yang betul (fakta), komunikasilah dengan media,” katanya ketika berucap dalam Majlis Apresiasi Ketua Polis Johor bersama Media Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini. 

Ayob Khan berkata, setiap KPD perlu memastikan hubungan bersama-sama media rasmi rapat dan perlu berkongsi fakta yang tepat terutama membabitkan isu yang ditularkan.

Katanya, kerjasama yang positif memberikan situasi menang-menang buat kedua-dua pihak dan mencapai matlamat masing-masing.

“Apa yang boleh dikongsikan, kongsi. Tidak rugi pun. Mereka (media) hanya jalankan kerja. Kita (polis) pun mahu memastikan masyarakat dapat fakta yang betul. Kalau kita menjauhkan diri, kita akan mengalami kesukaran. 

“Yang sepatutnya kongsi dengan media kita tidak kongsi. Kita pula yang cakap dengan orang luar, kita kongsi pada orang yang tidak sepatutnya kita beri kerana sebenarnya apa yang dikongsikan media rasmi akan bantu masyarakat khususnya polis,” katanya.

Tambah beliau, ketajaman penulisan itu boleh menjatuhkan atau membangunkan sesebuah negara atau membangunkan seseorang individu mahupun personaliti seseorang. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya