PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memaklumkan, kotak Bantuan Food Banknya yang disediakan adalah pek individu untuk kegunaan segera individu yang dilanda musibah.
Dalam satu kenyataan hari ini, KPDNHEP menegaskan, penjelasan yang dibuat itu untuk memberikan maklum balas berkaitan satu hantaran tular di media sosial berkaitan Bantuan Food Bank KPDNHEP yang mempertikai jumlah barang bantuan yang diterima.
KPDNHEP memaklumkan dakwaan yang dinyatakan adalah tidak benar sama sekali dan hanya bertujuan memberikan gambaran negatif kepada kementerian serta kerajaan.
“Program ini berkonsepkan saluran bantuan melalui pengumpulan barangan makanan dan keperluan daripada penyumbang seperti pasar raya, pengilang, pengusaha makanan serta syarikat korporat.
“Ia bukan program bantuan makanan rasmi kerajaan seperti di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), malah tiada peruntukan kerajaan terlibat dalam program ini,” katanya, hari ini. – UTUSAN ONLINE