KUALA LUMPUR: Kerajaan komited menyediakan perumahan mampu milik yang selesa kepada semua golongan Keluarga Malaysia termasuk warga berpendapatan sederhana rendah atau M40.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu adalah sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Agenda 2030.
Beliau berkata, melalui inisiatif Residensi Wilayah Keluarga Malaysia, tumpuan adalah di kawasan pesat membangun walaupun terpaksa berhadapan dengan cabaran nilai hartanah semakin tinggi.
“Residensi Wilayah Keluarga Malaysia bertujuan merealisasikan impian warga Wilayah Persekutuan untuk memiliki rumah sendiri dengan persekitaran selesa dan kondusif.
“Apa yang menjadi keutamaan adalah harga rumah tersebut berpatutan dan mampu milik,” kata beliau ketika merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Residensi Wilayah Keluarga Malaysia Kuchaimas, di sini, hari ini.
Yang hadir sama Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim; Ketua Setiausaha Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mahadi Che Ngah.
Majlis penyerahan kunci itu menyaksikan seramai 478 pemilik unit Residensi Wilayah Keluarga Malaysia Kuchaimas menerima kunci rumah masing-masing, hari ini.
Menurut Ismail Sabri, Residensi Kuchaimas adalah salah satu projek Residensi Wilayah Keluarga Malaysia yang dibina di atas tanah berkeluasan 1.58 ekar.
“Blok bangunan berketinggian 49 tingkat in menyediakan 478 unit kediaman pada harga RM198,000 setiap unit. Setiap kediaman ini berkeluasan 800 kaki persegi, dengan tiga bilik tidur, dua bilik air dan satu petak tempat letak kereta berbumbung.
“Residensi Kuchaimas ini juga menawarkan pelbagai kemudahan komuniti seperti ruang taska, tempat rekreasi, bilik permainan, ruang kedai dan surau serta berdekatan dengan sekolah.
“Residensi ini juga menyediakan dewan serbaguna dan kawasan khusus untuk komuniti menjalankan aktiviti bersama keluarga dan jiran tetangga.
“Residensi Kuchaimas terletak di lokasi strategik dan mempunyai akses mudah kepada lebuh raya utama seperti Lebuhraya Pantai Baru dan Lebuhraya SMART (Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong) yang dapat memudahkan penduduk untuk menjalankan urusan harian,” katanya.
Tambah Perdana Menteri, Residensi Kuchaimas itu menggambarkan keterangkuman Keluarga Malaysia dengan 60.3 peratus kaum Bumiputera, 37.4 peratus kaum Cina dan 2.3 peratus kaum India.
Justeru, katanya, sudah tentu dengan keselesaan itu, masyarakat berbilang kaum dalam Keluarga Malaysia dapat hidup dalam suasana harmoni dan bersatu padu.
“Saya yakin komuniti Residensi Kuchaimas akan meraikan persamaan dan perbezaan berdasarkan nilai-nilai dan ciri-ciri Keluarga Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan menyambut baik dan berterima kasih kepada pihak pemaju kerana berjaya menyediakan rumah mampu milik Residensi Wilayah Keluarga Malaysia ini.
Kata beliau, pihaknya sangat menghargai komitmen dan dedikasi pemaju dalam menjayakan program itu yang membantu merealisasikan aspirasi kerajaan untuk menyediakan rumah mampu milik buat warga Wilayah Persekutuan.
“Sehingga November tahun ini, sebanyak 62,836 unit rumah yang melibatkan 102 projek Residensi Wilayah Keluarga Malaysia telah mendapat kelulusan untuk pembinaan di Wilayah Persekutuan.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 95 buah projek terletak di Kuala Lumpur, tiga di Putrajaya dan empat di Labuan.
“Sasaran Residensi Wilayah Keluarga Malaysia adalah untuk menyediakan sebanyak 80,000 unit dalam tempoh 10 tahun sehingga 2028, dengan sasaran 8,000 unit setahun.
“Saya minta Kementerian Wilayah Persekutuan dan agensi-agensi di bawahnya memastikan sasaran yang ditetapkan dapat dicapai dengan kerjasama pemaju swasta kerana ini adalah penting untuk kesejahteraan Keluarga Malaysia,” jelas beliau. – UTUSAN 0NLINE