Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan dikenakan PKPD Secara Pentadbiran - Utusan Malaysia

Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan dikenakan PKPD Secara Pentadbiran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan (KMNS) di sini, dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran selama tujuh hari bermula semalam sehingga 8 Disember ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, langkah berkenaan diambil bagi memastikan risiko jangkitan terutama kepada masyarakat luar dapat dielakkan.

Menurutnya, tiada pergerakan keluar atau masuk dibenarkan sepanjang tempoh PKPD Secara Pentadbiran tersebut.

“Saringan akan dijalankan kepada semua individu yang bergejala sepanjang PKPD Secara Pentadbiran berkuatkuasa. Saringan bersasar akan dilaksanakan kepada semua warga KMNS pada hari kelima bagi memastikan mereka bebas dari Covid-19 sebelum ditamatkan tempoh kuarantin mereka.

“Satu jawatankuasa khas untuk menyelaras hal ehwal pentadbiran termasuk penyediaan makanan, kawalan keselamatan, pengurusan pembuangan sisa domestik dan lain-lain yang berkaitan dibentuk serta Kementerian Kesihatan, polis, dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) akan melakukan pemantauan untuk memastikan prosedur operasi standard (SOP) sentiasa dipatuhi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kluster Intan Delima 2 melibatkan pelajar dan pensyarah di KMNS telah mencatatkan 32 kes positif Covid-19 sehingga kelmarin daripada sejumlah 565 saringan yang dilakukan.

Semenyata itu, menurut Veerapan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan menjalankan aktiviti disinfeksi di semua premis di dalam KMNS termasuk kelas, makmal, surau, dan koridor asrama.

“Kes pertama dikesan pada 21 November lalu iaitu seorang pensyarah yang telah disahkan positif melalui saringan bergejala. 

“Susulan daripada itu, beberapa siri saringan kontak rapat telah dilakukan dari 22 hingga 30 November dalam kalangan pelajar, pensyarah dan ahli keluarga dan ada kalangan mereka yang didapati positif.

“Bagi memastikan penularan jangkitan dapat dihentikan maka saringan besaran secara bersasar telah dilakukan terhadap 326 orang lagi kelmarin. Semua kes positif yang dikesan diasingkan serta merta di Bangunan Khas di KMNS. Ada dalam kalangan mereka seterusnya dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Tampin, tambah beliau.

Katanya, seramai 105 orang kontak rapat pula sedang menjalani kuarantin di tiga buah Blok Kediaman di KMNS.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya