KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan sudah bersedia menghadapi banjir gelombang kedua yang berlaku pada bila-bila masa.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, persediaan awal telah dilakukan dengan beberapa pihak supaya manga banjir dapat diselamatkan mengikut prosedur yang telah dirancang.
“Sepertimana yang saya telah arahkan, pagi tadi saya berbincang dengan beberapa pihak bahawa kita sudah bersiap sedia. Kita tahu gelombang kedua mungkin berlaku pada bila-bila masa. Jadi kita kena buat persediaan awal. Kita dah minta semua agensi melihat situasi dan memaklumkan apa yang perlu dilakukan, berdasarkan kepada SOP yang telah kita tetapkan.
“Dan salah satunya sepertimana yang dilakukan Prasarana iaitu apabila dalam keadaan terdesak, kalau rakyat terpaksa lari ke sini, jadi itulah tempat yang mereka berteduh, itulah tempat yang kita sudi menerima mereka.
“Kita akan mengatur untuk bagaimana kita nak jadikan tempat ini sebagai salah satu tempat perlindungan sebagai contoh. Ini berlaku di beberapa tempat juga apabila banjir itu terlalu teruk maka kita kena menyediakan tempat untuk mangsa-mangsa banjir ini,” katanya pada sidang akhbar pelancaran My50 di sini hari ini.
Tambahnya, perkara itu sudah dimaklumkan kepada agensi yang terlibat, malah beberapa pihak lain turut bersedia memberi bantuan dari segi penyediaan bot dan sebagainya.
“Kita dah bersiap. Dan berapa negeri pun saya rasa mereka ada mesyuarat. Pagi tadi pun saya berbincang dengan beberapa pihak. Saya nampak persediaan kita memang tersusun,” katanya.
Secara asasnya, beliau turut menjelaskan pembinaan stesen kereta api merupakan kawasan yang sememangnya tidak ditenggelami air, sekali gus menjadi tempat perlindungan yang selamat untuk mangsa banjir.
Dalam pada itu, beliau berkata, segala urusan dokumentasi boleh ditangguhkan dahulu sehingga pembersihan rumah selesai dibuat.
“Tak payah tergesa-gesa untuk nak buat penggantian dokumen. Itu kita akan lakukan. Saya tak bagi satu ‘dateline’ untuk mereka buat. Jadi mangsa banjir boleh kemaskan rumah dulu. Dan kemudian apa yang patut.
“Apa yang perlu dilakukan terhadap penggantian dokumen, lesen memandu ataupun lesen yang kenderaan motor atau road tax (cukai jalan),” jelasnya.