PETALING JAYA: Veteran DAP, Lim Kit Siang tidak perlu memainkan sentimen perkauman berhubung ketiadaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di saat musibah melanda negara, kata Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Ketua Penerangan Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu) itu berkata, dapat dilihat rakyat ketika ini berganding bahu membantu mangsa banjir tanpa mengira bangsa dan agama.
“Perkara sebegini pun nak dijadikan isu? Tak bolehkah DAP berhenti menjadi parti cauvinis yang suka mainkan isu kaum dan agama?
“Kit Siang tidak perlu memainkan sentimen sebegini di saat musibah melanda. Penganjur pun tak ada yang bagi komen negatif tetapi DAP pula yang pipi tersorong-sorong ambil kesempatan.
“Saya tak faham kenapa DAP timbulkan isu perkauman dalam waktu sekarang. Pada waktu ini kita lihat rakyat tanpa mengira bangsa dan agama berganding bahu membantu mangsa banjir.
“Perpaduan yang kita dapat lihat dalam misi bantuan banjir, DAP tak nak komen pula? Lebih elok pemimpin DAP diam saja daripada sengaja nak pecah belahkan keharmonian negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Wan Saiful berkata demikian bagi mengulas mengenai kenyataan Kit Siang, yang menyifatkan ketiadaan Ismail Sabri dalam Majlis Minum Petang Krismas anjuran Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) adalah satu perkara yang menunjukkan kegagalan Perdana Menteri itu.
Kit Siang berkata, ini kerana ketiadaan itu menunjukkan kegagalan Ismail Sabri bahawa beliau adalah untuk semua rakyat Malaysia dan kegagalan slogan Keluarga Malaysia untuk menjadi sebuah keluarga yang inklusif tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan. – UTUSAN ONLINE