Ketiadaan Aidil, Shahrul punca Malaysia hilang konsentrasi - Cheng Hoe - Utusan Malaysia

Ketiadaan Aidil, Shahrul punca Malaysia hilang konsentrasi – Cheng Hoe

KESEBELASAN utama Harimau Malaya ketika berdepan Vietnam dalam aksi Kumpulan B Piala AFF di Stadium Bishan, Singapura, hari ini.- IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kehilangan dua bek tengah terutama Aidil Zafuan Ab. Radzak menyebabkan Harimau Malaya kehilangan konsentrasi sewaktu tewas 0-3 kepada juara bertahan, Vietnam dalam aksi Kumpulan B Piala AFF di Stadium Bishan, Singapura, sebentar tadi.

Pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe berkata, beliau kini berharap Aidil dan seorang lagi pertahanan, Shahrul Saad dapat pulih sepenuhnya menjelang aksi terakhir peringkat kumpulan menentang Indonesia, Ahad ini.

Mujur Malaysia mempunyai masa kira-kira seminggu untuk menyusun semula barisan terkuat, menyaksikan pertahanan dari Eropah, Dion Cools dijangka tiba di Singapura Rabu ini, selain Khairulazhan Khalid dan Faisal Halim akan tamat tempoh kuarantin.

“Memang perlawanan hari ini kita kehilangan konsentrasi disebabkan Aidil (di separuh masa pertama) mengalami kecederaan, jadi terdapat kelonggaran di bahagian pertahanan.

“Pada babak kedua, pertukaran beberapa pemain sekurang-kurangnya dapat mengimbangi pasukan Vietnam, namun kita berdepan situasi getir sekali lagi apabila ramai pemain mengalami kecederaan.

“Malah ketiadaan Shahrul menyebabkan pertahanan semakin longgar dan sebab itu kita tidak dapat mengekalkan momentum,” ujar Cheng Hoe selepas tamat perlawanan.

PEMAIN tengah Malaysia, Mukhairi Ajmal Mahadi ketika beraksi menentang Vietnam dalam aksi Kumpulan B Piala AFF di Stadium Bishan, hari ini.- IHSAN FAM

Dua jaringan pada babak pertama melibatkan Nguyen Quang Hai dan Nguyen Cong Phuong, diikuti satu menerusi Nguyen Hoang Duc di separuh masa kedua, meletakkan Naga Emas menghuni tangga teratas Kumpulan B setelah berkongsi enam mata dengan Indonesia.

Kekalahan tersebut meletakkan skuad bimbingan Cheng Hoe di tempat ketiga selepas memungut enam mata menerusi kejayaan mengatasi Kemboja 3-1 dan Laos 4-0 sebelum ini.

“Kita lihat dalam tempoh seminggu lagi untuk persiapan. Saya harap kedua-dua pemain (Aidil dan Shahrul) dapat pulih dalam masa terdekat.

“Kena buat persediaan rapi dan kerja keras untuk menentang Indonesia nanti,” kata Cheng Hoe mengulas berhubung pelannya untuk menentang skuad Garuda.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya