Kesan cerun, tanah runtuh di gunung banyak kelihatan - Utusan Malaysia

Kesan cerun, tanah runtuh di gunung banyak kelihatan

SEREMBAN 28 Dis.- KESAN tanah dan cerun runtuh di Gunung Berembun, Seremban boleh dilihat dari jauh susulan kejadian hujan lebat berterusan baru-baru ini. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kejadian hujan lebat yang berlaku baru-baru ini turut menyebabkan runtuhan cerun dan tanah di sekitar kawasan Gunung Telapak Buruk di Jelebu dan Gunung Berembun di daerah ini.

Tiada jumlah yang tepat, namun Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan, Saleh Awaludin berkata, ia sangat banyak berlaku di kedua-dua kawasan tersebut termasuk pokok-pokok yang tumbang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, pihaknya kini sedang membuat semakan terperinci keadaan dan jumlah cerun serta tanah yang mengalami runtuhan di kedua-dua kawasan gunung tersebut sebelum kerja-kerja pembersihan dapat dilaksanakan.

“Di atas puncak Gunung Telapak Buruk mempunyai stesen pemancar jadi kami mahu membantu dengan melakukan pembersihan namun untuk pergi ke puncak berlaku banyak runtuhan dan pokok tumbang sepanjang laluannya.

“Di Gunung Berembun juga begitu, jika kita lihat selepas banjir baru-baru ini, air sungai yang berada di sekitar masih lagi keruh, berlumpur dan berpasir. Kami menjangkakan masih lagi berlaku runtuhan.

“Runtuhan-runtuhan ini perlu dibersihkan cepat supaya air yang keruh tidak turun lagi. Saya juga kini bimbang, kalau hujan lebat berlaku lagi akan ada lagi runtuhan-runtuhan kerana di atas itu sudah rapuh,” katanya di sini semalam.

Tambah Saleh, kerja-kerja pembersihan susulan bencana tersebut akan mengambil masa lama namun beliau telah membawa beberapa cadangan untuk kerajaan negeri pertimbangkan supaya pelaksanaan kerja pembersihan dapat disiapkan dengan lebih cepat.

Sementara itu katanya, tahun hadapan akan menjadi tahun untuk pihak Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan memberikan tumpuan kepada membersihkan sisa-sisa runtuhan dan pemulihan hutan-hutan lipur di negeri ini yang terjejas dalam bencana banjir dan tanah runtuh.

Menurut Saleh, ia termasuk hutan lipur Taman Eko Rimba Jeram Toi yang disifatkan beliau telah musnah sama sekali.

“Di Jeram Toi, semuanya habis, tidak tinggal sedikitpun, mungkin untuk pemulihan dan pembaikannya nanti, kami akan kekalkan sedia adanya ketika ini.

“Saya jangka tahun depan, tumpuan untuk bersihkan kesan-kesan runtuhan dan pemulihan di Jeram Toi, hutan lipur Gunung Berembun dan juga di Kenaboi, Jelebu serta hutan lipur lain yang mungkin terkesan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya