MELAKA: Kementerian Kesihatan mengesan satu kes positif Covid-19 varian Omicron pertama di negeri ini membabitkan seorang wanita berusia 34 tahun yang baru pulang dari Arab Saudi selepas mengerjakan ibadah Umrah bersama suaminya.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah Melaka, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, kementerian mengesan kes tersebut melalui ujian jujukan genom PCR (Genotyping Assay) yang dijalankan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), semalam.
Menurutnya, wanita berkenaan bersama suaminya dimasukkan ke wad isolasi di Hospital Melaka untuk tujuan pemantauan rapi dan keadaannya dilaporkan stabil.
Beliau berkata, wanita itu bersama suaminya melakukan Umrah dari 4 hingga 15 Disember lalu dan telah menjalani ujian swab PCR Covid-19 sewaktu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), menaiki penerbangan Saudi Airlines (SV3842) kira-kira pukul 9.50 malam.
“Pasangan itu diarahkan menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah selama tujuh hari. Namun tiga hari selepas menjalani ujian swab, mereka telah disahkan positif Covid-19.
“Kes tersebut dirujuk ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Bukit Serindit dan telah dibenarkan untuk menjalani kuarantin wajib di rumah kerana kes tersebut berstatus kategori 1 iaitu tidak bergejala.
“Namun semalam, kementerian mengesahkan hanya isteri pasangan itu sahaja yang positif varian Omicron manakala suaminya positif Covid-19. Mereka berdua telah ditempatkan ke wad isolasi di Hospital Melaka untuk pemantauan rapi dan keadaan dilaporkan stabil,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Kesihatan Negeri, Wisma Persekutuan, Ayer Keroh di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE