PORT DICKSON: Sebanyak 13 kes pecah cermin kereta di kuil sekitar daerah ini berjaya ditumpaskan dengan penahanan seorang suspek lelaki baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitenden Aidi Sham Mohamed berkata, bertindak atas risikan dan maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson telah menahan seorang lelaki di tepi Jalan Tuanku Antah, Rahang, Seremban yang baru keluar dari sebuah kedai pajak gadai pada pukul 2.30 petang, Isnin lalu.
“Seterusnya, pasukan serbuan membuat pemeriksaan ke atas suspek dan kenderaan yang dinaiki telah menjumpai peralatan yang digunakan untuk pecah cermin kereta selain surat pajak gadai, telefon bimbit dan barang kemas.
“Pasukan serbuan turut membuat rampasan susulan di kedai pajak gadai di sekitar Seremban dan Senawang serta rumah suspek dan telah merampas barang kemas yang telah digadai, telefon bimbit, surat pajak gadai dan komputer riba,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Aidi Sham, pada hari yang sama lebih kurang 10 pagi, suspek berusia 39 tahun itu telah memecahkan cermin sebuah kereta yang diletakkan di hadapan Dewan Badminton Bandar Port Dickson.
“Pemilik kereta itu seorang juruteknik lelaki berusia 54 tahun telah meletakkan kenderaannya di situ untuk sembahyang di Kuil Maha Mariamman di sini.
“Apabila selesai mangsa mendapati cermin keretanya telah pecah dan terdapat barang yang hilang sebelum membuat laporan polis,” katanya.
Jelas Aidi Sham, dengan penahanan suspek, pihak polis IPD Port Dickson telah berjaya menyelesaikan 13 kes pecah cermin kereta di kuil kawasan Springhill, Lukut, Bukit Palong, Ladang Salak, Bunga Raya dan Jalan Lama.
“Jumlah keseluruhan kerugian adalah sebanyak RM20,500 melibatkan barang kemas, telefon bimbit dan dokumen peribadi.
“Siasatan mendapati, suspek yang bekerja sebagai pembantu jurujual kedai makan di Seremban mempunyai tiga rekod kesalahan jenayah lampau iaitu curi dan samun manakala hasil ujian saringan air kencing adalah negatif,” katanya.
Tambah beliau, suspek kini direman di lokap Balai Polis Port Dickson untuk siasatan lanjut di bawah Sekyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tujuh tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya sekali. -UTUSAN ONLINE