CYBERJAYA: Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin mengesahkan penularan Covid-19 di Sekolah Seri Puteri, di sini berpunca daripada seorang guru di sekolah berkenaan.
Perkara itu dimaklumkan Radzi menerusi rakaman video di Facebook rasminya.
Radzi berkata, selepas ujian saringan kontak rapat dilakukan terhadap guru berkenaan, seorang lagi guru dan enam pelajar turut didapati positif Covid-19.
Beliau berkata, saringan ke atas 121 kontak rapat enam pelajar berkenaan mendapati tiada kes positif dikesan malah mereka telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
“Bagaimanapun, pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sepang telah menjalankan ujian saringan kontak rapat kepada 200 orang pelajar lain. Hasil ujian saringan mendapati, 65 daripada 200 pelajar itu disahkan positif Covid-19.
“Kesemua mereka sudah dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang untuk pemantauan,” katanya.
Katanya, pihaknya dimaklumkan, PKD Sepang akan melaksanakan ujian saringan kepada baki pelajar lain.
Radzi berkata, kementerian dan PKD Sepang serta pihak sekolah akan bekerjasama rapat bagi memastikan pelajar berada dalam keadaan selamat.
“Kami akan terus melakukan yang terbaik bagi memastikan keselamatan pelajar ini,” katanya.
Terdahulu, Radzi bersama Ketua Pengarah Pendidikan, Datin Seri Nor Zamani Abdol Hamid dan Dr. Md Nasir daripada PKD Sepang berkesempatan meninjau perkembangan kes jangkitan di sekolah berkenaan malam tadi.