KUCHING: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mulu menjadi milik Gabungan Parti Sarawak (GPS) sekali gus menjadi kerusi terakhir dimenangi gabungan berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang berakhir semalam.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh dalam satu kenyataan berkata, kerusi diwakili calon GPS, Datuk Gerawat Gala meraih undi 3,731 dan undi majoriti 2,875 setelah peti undi berkenaan diterima hari ini.
Justeru, GPS secara keseluruhan memenangi 76 daripada 82 kerusi DUN, sementara Parti Sarawak Bersatu (PSB) mendapat empat kerusi manakala DAP menang dua kerusi DUN.
Sementara itu, beliau memaklumkan, peratusan keluar mengundi bagi PRN Sarawak mencatatkan peratusan keluar mengundi sebanyak 60.67 peratus berbanding 70 peratus yang disasarkan sebelum ini.
Katanya, peratusan itu melibatkan seramai 759,627 pengundi yang telah menunaikan tanggungjawab masing-masing pada PRN kali ini.
“Pada PRN ke-12 kali ini, seramai 759,627 orang atau 60.67 peratus telah keluar mengundi. Jumlah tersebut meliputi jumlah pengundi biasa, pengundi awal dan pengundi pos yang telah mengundi,” katanya hari ini.
Seramai 1,252,014 pengundi layak mengundi melibatkan 1,228,858 pengundi biasa selain 12,585 anggota tentera dan pasangan, anggota polis dan pasangan (10,458) serta pengundi tidak hadir luar negara (113).
Sebanyak 1,866 pusat mengundi biasa dibuka semalam melibatkan 3,555 saluran dengan dikendalikan oleh 46,565 petugas SPR. – UTUSAN ONLINE