Kertas siasatan Long Tiger lolos hampir siap - Utusan Malaysia

Kertas siasatan Long Tiger lolos hampir siap

LONG TIGER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kertas siasatan kes Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab. Hamid, 32, yang bertindak melarikan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak, dekat sini dua minggu lalu hampir selesai untuk dilengkapkan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, bagaimanapun pihaknya bersedia membuat permohonan penambahan tempoh reman sekiranya diperlukan bagi melengkapkan lagi siasatan terhadap lelaki berketurunan Rohingya itu.

“Sambung reman atau tidak, ini bergantung kepada siasatan kita, kalau belum lengkap mungkin kita akan minta sambung reman. Ini juga bergantung kepada Majistret sama ada akan bagi reman tambahan atau tidak. 

“Tetapi saya rasa Insya-Allah, ‘more or less’ kita dah siapkan kertas siasatan, kes ini adalah ‘straight forward’ iaitu dia melarikan diri daripada tahanan. Kita akan lihat kalau tidak cukup, kita akan minta reman tambahan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Santai Cycle Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Johor 2021 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

AYOB Khan Mydin Pitchay (kanan) bersama isteri, SAC Datin Zaleha Mohd. Ariffin yang juga Pengerusi Perkep Kontinjen Johor memotong riben sempena Program Santai Cycle Perkep Johor 2021 di IPK Johor di Johor Bahru. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

Dalam perkembangan sama, Ayob Khan memaklumkan jumlah tangkapan suspek melibatkan kes terbabit masih kekal empat orang termasuk Long Tiger.

Pada Selasa lalu, polis berjaya menahan suspek dalam buruan itu yang menyembunyikan diri di rumah seorang pondan di Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani, Kedah ketika serbuan dilakukan sepasukan anggota polis.

Seorang lelaki berperwatakan perempuan yang berusia 46 tahun turut dicekup dalam serbuan itu kerana disyaki bersubahat melindungi Long Tiger sebelum dua lagi lelaki ditangkap di Batu Pahat, tidak lama kemudian.

Terdahulu kira-kira pukul 11.55 pagi, 15 Disember, Long Tiger meloloskan diri melalui pintu utama Mahkamah Majistret Tangkak sebelum perbicaraan melibatkannya di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan kerana pemerasan bermula.

Dalam tempoh berkenaan, peguam, Datuk Sharudin Ali mengumumkan penarikan diri daripada mewakili Long Tiger di mahkamah dalam semua kes yang dituduh terhadapnya. 

Ekoran kejadian itu juga, Ketua Polis Daerah Tangkak; Ketua Polis Balai Tangkak dan seorang Inspektor Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak berdepan siasatan tatatertib atas kesalahan kecuaian dalam penyeliaan tugas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya