PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa kerjasama antarabangsa bagi mengawal inflasi harga makanan global ekoran dunia kini sedang mengalami impak besar akibat Covid-19.
Ahli Parlimen Pekan itu menjelaskan, banyak nyawa manusia terkorban manakala harga saham menjunam serta gangguan terhadap rantaian bekalan apabila dunia menderita kesan pasca pandemik berikutan permintaan semakin lemah dan sumber bekalan tidak menentu.
“Penduduk di seluruh dunia terkesan dalam aspek pendapatan, wang simpanan dan mata pencarian mereka telah berkurangan ekoran penutupan sempadan selama berbulan-bulan yang menghalang mereka daripada mencari nafkah.
“Namun apabila ekonomi dibuka semula, mereka berhadapan pula dengan kenaikan harga makanan yang melonjak secara mendadak.
“Apabila dompet rakyat terkesan, mereka merungut tetapi apabila perut atau keluarga mereka menjadi mangsa, ia adalah soal hidup dan mati. Ibarat kata pepatah Melayu, sudah jatuh ditimpa tangga,” katanya ketika menyampaikan ucaptama dalam Forum Ekonomi China Sedunia 2021 anjuran Institut Strategi Antarabangsa (ISI), di ibu negara hari ini.
Forum Ekonomi China Sedunia 2021 adalah forum tahunan yang menghimpunkan 250 delegasi terdiri daripada pemimpin dunia, pemain industri dan usahawan baharu bagi membincangkan isu ekonomi melibatkan kuasa besar global yang semakin memuncak
Dalam pada itu, Najib menggesa masyarakat dunia untuk bersama-sama mewujudkan infrastruktur vaksinasi global kerana vaksinasi mega adalah satu-satunya cara untuk mengawal pandemik dan mengehadkan kesan kepada ekonomi dunia.
“Kita mesti bangunkan struktur yang pelbagai bagi memastikan perjalanan vaksin daripada makmal ke tangan lebih ramai penduduk dapat dilakukan dalam tempoh yang lebih singkat.
“Oleh itu, saya menyeru negara-negara di seluruh dunia untuk mula melabur di Malaysia dan ASEAN sebagai hab serantau bagi membolehkan rantau ini mengeluarkan vaksin secara kendiri agar impak pandemik ini dapat ditangani oleh ASEAN dengan lebih efektif,” katanya.
Dalam pada itu, Najib percaya bahawa dunia harus memanfaatkan perjanjian perdagangan bebas sedia ada seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) agar peluang perjanjian itu boleh digunakan untuk menurunkan tarif dan kos operasi dalam perniagaan terutamanya untuk perusahaan kecil dan sederhana selalu merupakan tulang belakang ekonomi Malaysia. – UTUSAN ONLINE