Kerja baik pulih di sekolah terjejas banjir dilakukan segera - Utusan Malaysia

Kerja baik pulih di sekolah terjejas banjir dilakukan segera

RADZI Jidin meninjau SMK Taman Sri Muda, Shah Alam selepas terjejas teruk akibat banjir.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin mengarahkan supaya kerja-kerja membaik pulih sekolah-sekolah yang terjejas banjir, baru-baru ini dilakukan segera.

Beliau berkata, KPM komited memastikan semua sekolah yang terlibat dalam kejadian banjir besar diberi perhatian segera.

Menurutnya, ia penting bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat dan selesa kepada anak-anak generasi pewaris negara.

“Petang semalam, saya ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Sri Muda, Shah Alam bagi meninjau keadaan infrastruktur sekolah selepas ditenggelami air akibat banjir besar minggu lalu.

“Selain SMK Taman Sri Muda, terdapat lapan buah sekolah lagi dalam kawasan sekitar turut terjejas.

“Di SMK Taman Sri Muda, selain bilik darjah, bilik khas lain yang rosak teruk adalah bengkel, makmal sains dan makmal komputer,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Katanya, beliau difahamkan, seramai 34  guru sekolah berkenaan terkesan akibat banjir.

KPM semalam mengumumkan sesi persekolahan penggal ketiga 2021/2022 ditangguhkan selama seminggu susulan bencana banjir di beberapa buah negeri.

Tarikh baharu pembukaan sekolah bagi negeri-negeri kumpulan A ditetapkan pada 9 Januari ini, manakala kumpulan B pula pada 10 Januari ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN