Kerani wanita rugi RM50,000 setelah dedah nombor TAC - Utusan Malaysia

Kerani wanita rugi RM50,000 setelah dedah nombor TAC

AHMAD ADNAN BASRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Seorang kerani wanita mengalami kerugian sebanyak RM50,000 akibat ditipu individu menyamar sebagai pegawai sebuah bank, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, mangsa berusia 36 tahun dari Hutan Melintang pada mulanya dihubungi suspek yang mengatakan wanita itu mempunyai kad kredit platinum yang dimohon di cawangan sebuah bank di Bandar Baru Klang. 

Katanya, mangsa juga diberitahu yang dia membuat tiga transaksi pengeluaran wang berjumlah RM15,596 pada 15 dan 26 November lalu dengan pengeluaran terakhir kelmarin.

“Wanita terbabit memaklumkan kepada suspek yang dia tidak pernah membuat sebarang permohonan kad kredit dari bank berkenaan. Suspek kemudian memaklumkan yang dia akan membantu mangsa membuat laporan polis kepada Bank Negara yang ada individu telah menggunakan butiran mangsa untuk membuka akaun bank tersebut,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, suspek telah meminta maklumat peribadi mangsa dan butiran perbankan wanita itu sebelum menghantar satu laporan polis kononnya bagi rujukan Bank Negara.

Katanya, mangsa hanya menyedari telah ditipu setelah menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada pihak bank yang mengatakan terdapat 15 transaksi pindahan wang melalui dalam talian ke akaun milik suspek.

“Maklumat akaun bank serta Kod Pengesahan Transaksi (TAC) diberikan sendiri oleh mangsa kepada suspek setelah lelaki itu berjanji akan membantu menyelesaikan masalah yang timbul. Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya