PETALING JAYA: Kerajaan bersetuju memberikan penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selama tiga bulan kepada peminjam PTPTN yang terkesan.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, ini berikutan bencana banjir yang melanda negara mengakibatkan kemusnahan harta benda kepada mereka yang terlibat termasuk peminjam PTPTN.
“Peminjam yang terkesan boleh kemukakan permohonan kepada PTPTN bermula 28 Disember hingga 31 Mac 2022. Butiran lanjut mengenai pelaksanaannya diumumkan oleh PTPTN.
“Keputusan ini diambil selari dengan aspirasi kerajaan hari ini yang prihatin serta komited membantu Keluarga Malaysia dalam saat yang mencabar ini.
“Diharapkan penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN ini dapat meringankan beban peminjam yang terkesan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, banjir yang melanda negara hujung minggu lalu, Selangor adalah antara negeri yang terjejas teruk manakala negeri lain yang turut terjejas adalah Melaka, Negeri Sembilan dan Perak manakala keadaaan banjir di Pahang dan Kelantan pula dilaporkan semakin buruk.
Perbelanjaan besar diperlukan bagi menampung bencana yang melanda terutamanya apabila melibatkan kerosakan struktur rumah seperti kerosakan pintu, dinding dan lantai selain kemusnahan perabot dan barangan elektrik lain. – UTUSAN ONLINE