TEMERLOH: Kerajaan sedia menyalurkan bantuan segera secara ‘one-off‘ sebanyak RM10,000 hingga RM20,000 kepada masjid dan surau yang terjejas banjir.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, peruntukan segera itu disediakan melalui Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim).
Menurutnya, bantuan itu akan disumbangkan berdasarkan keperluan dan permintaan daripada pihak pengurusan sama ada masjid dan surau.
“Bantuan tersebut akan diberikan sekiranya masjid dan surau itu benar-benar memerlukan sumber kewangan untuk menguruskan hal-hal pencucian atau membaiki kerosakan akibat bencana banjir.
“Namun segala permintaan tersebut akan diselaraskan oleh Jabatan Agama Islam di setiap negeri. Dengan bantuan tersebut mana-mana masjid dan surau mampu menyelesaikan masalah banjir dengan kadar segera sekiranya sumber kewangan tidak mencukupi,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada guru takmir dan agama yang terjejas banjir di Maahad Tahfiz Al Amin, di Kampung Berhala Gantang di sini hari ini.
Dalam program itu, seramai 70 orang mangsa banjir (guru takmir dan agama) menerima barangan keperluan rumah berupa periuk nasi elektrik, dapur, alas tempat tidur dan selimut.
Ahmad Marzuk berkata, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan dalam membantu dan membaikpulih rumah-rumah ibadat khususnya bagi umat Islam yang berada di bawah jabatan agama pada setiap kali selepas musibah melanda.
“Sudah menjadi tanggungjawab umat Islam untuk selesaikan dulu kerja-kerja pembersihan masjid dan surau dan kebanyakan lokasi yang sudah dilawati… rata-rata sudah bersih dan peralatan sudah diganti melalui sumbangan dermawan serta badan-badan korporat.
“Setakat pemantauan saya itu, banyak juga masjid yang sudah beroperasi semula lebih lagi untuk membuka ruang bagi solat Jumaat seperti hari ini,” katanya.