SEREMBAN: Sebanyak RM3.462 juta jumlah bantuan disalurkan kepada 3,462 ketua isi rumah (KIR) yang terjejas bencana banjir di negeri ini, sejak 24 Disember lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, bantuan tersebut disalurkan melalui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan yang terjejas banjir tersebut.
“Bantuan berkenaan disalurkan kepada ADUN kawasan dan penyelaras DUN yang terlibat sejak 24 Disember lalu. Bantuan disampaikan kerana saya minta agihan berkenaan disegerakan kepada mereka terjejas, saya harap ia dapat diselesaikan minggu ini,” katanya selepas Majlis Penyerahan Sijil Khairat Kematian Kepada ADUN dan Penyelaras DUN di sini hari ini.
Sementara itu, Aminuddin menjelaskan, beberapa peruntukan tambahan juga telah diberikan di kawasan yang terjejas iaitu di Lenggeng, Johol, Labu, Rantau, Sikamat dan Ampangan yang melibatkan sebanyak RM188,000. – UTUSAN ONLINE