PARIT BUNTAR: Kerajaan negeri menunggu laporan terperinci kes enam pelajar Tingkatan Lima Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah Kuala Kangsar yang dilaporkan positif Covid-19 hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, beliau belum menerima laporan lengkap kejadian itu.
Menurutnya, setakat ini punca penularan Covid-19 di MRSM itu tidak diketahui.
“Kita sedang menunggu laporan lengkap dari Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak sebelum mengambil langkah seterusnya.
“Kita percaya Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan mempunyai langkah keselamatan dalam mencegah penularan wabak ini dan memastikan semua sekolah dan pusat pengajian mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Saya kerap melakukan tinjauan sekolah-sekolah di negeri ini bagi memastikan pihak sekolah sentiasa mematuhi garis panduan SOP yang telah dikeluarkan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas Penyerahan Bantuan Mahasiswa Perak 2.0 peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kurau di sini hari ini.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains dan Alam Sekitar negeri, Mohd. Akmal Kamarudin mengesahkan enam pelajar MRSM Sultan Azlan Shah (SAS) Kuala Kangsar positif Covid-19.
Kesemua mereka merupakan jangkitan daripada Kluster Jalan Kuala Kangsar Gerik dilaporkan pada 29 November lalu.
Sementara itu, Ahmad Saidi berkata, kerajaan negeri menambah kuota penerima bantuan mahasiswa dari 2,000 penerima kepada 4,000 orang penerima.
Menurutnya, ini bagi membantu meringankan beban mereka yang terdiri daripada golongan asnaf, fakir, miskin, B40 dan mereka yang terjejas akibat Covid-19.
Beliau berkata, seramai 20,000 mahasiswa telah memohon bantuan itu dan setelah diteliti seramai 11,000 mahasiswa berada dalam kategori layak.
“Namun setelah dipilih mengikut kriteria yang telah ditetapkan, hanya 4,000 orang mahasiswa layak mendapat bantuan ini,” katanya.
Menurutnya, dalam pada masa sama, kerajaan negeri turut memberikan baucar pengangkutah bernilai RM50 yang boleh dimohon oĺeh mahasiswa menerusi laman web Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) hingga hujung bulan ini,” katanya.