IPOH: Kerajaan negeri tidak pernah membiayai pembangunan projek taman tema Movie Animation Park Studio (MAPS) di Meru Raya dekat sini yang kini telah ditutup sejak Januari tahun lalu berikutan masalah kewangan.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, projek tersebut telah dibiayai PCB Development Sdn Bhd (PCBD) melalui pinjaman daripada beberapa institusi kewangan.
Menurutnya, jadi tidak timbul soal kerajaan negeri rugi ataupun berhutang seperti yang didakwa pihak pembangkang.
“Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa kerajaan negeri tidak terlibat dengan sebarang hutang dan tidak bertanggungjawab untuk membayar hutang berkenaan.
“Oleh yang demikian, kerajaan negeri juga tidak mencampuri urusan perniagaan syarikat berkenaan kerana ia diuruskan secara profesional oleh lembaga pengarah dan badan pengurusan syarikat.
“Dalam erti kata lain, kerajaan negeri tidak mempunyai ’locus standi’ (atau hak di sisi undang-undang) untuk mencampuri urusan syarikat berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Ketika persidangan DUN pada Selasa, Nga Kor Ming (DAP-Aulong) mendakwa projek MAPS yang kini menjadi projek gajah putih telah menyebabkan anak syarikat kerajaan negeri, Perak Corporation Berhad (PCB) berhutang beratus juta ringgit.
Kor Ming juga mendakwa perkara berkenaan turut memberi kesan langsung kepada kerajaan negeri kerana terpaksa menyelesaikan bayaran hutang berkenaan.
MAPS yang dibangunkan dengan kos beratus juta ringgit ditutup pada Januari tahun lalu akibat masalah kewangan yang dihadapi taman tema berkenaan.
Notis penutupan MAPS mulai 28 Januari 2020 sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak dikeluarkan oleh The Receiver and Manager Animation Theme Park Sdn. Bhd. (ATP) daripada Messrs Ernst & Young.
Menurut notis tersebut, tiada tempoh ditetapkan terhadap penutupan taman tema tersebut sehingga diberitahu. – UTUSAN ONLINE