Kerajaan Negeri Sembilan sedia peruntukan RM4 juta bagi mangsa banjir, pembaikan infrastruktur  - Utusan Malaysia

Kerajaan Negeri Sembilan sedia peruntukan RM4 juta bagi mangsa banjir, pembaikan infrastruktur 

AMINUDDIN Harun (dua dari kiri) ketika sidang akhbar pengumuman bantuan segera kepada mangsa banjir di kediamannya di Seremban hari ini. - UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan menyediakan peruntukan sebanyak RM4 juta bagi membantu mangsa banjir dan pembaikan infrastruktur yang rosak akibat bencana di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, selain itu, kerajaan negeri turut memberikan sumbangan RM1,000 kepada setiap ketua keluarga yang terjejas akibat banjir.

“Kerajaan negeri amat berdukacita dengan kejadian banjir yang berlaku di beberapa daerah di negeri ini. Sehubungan itu, sebanyak RM4 juta akan diperuntukkan kepada keluarga terjejas banjir dan pembaikan infrastruktur yang rosak akibat banjir.

“Setakat ini, saya menganggarkan sebanyak RM3 juta akan diberikan dengan anggaran 3,000 keluarga yang terjejas akibat banjir manakala sebanyak RM1 juta lagi akan digunakan bagi membantu pembaikan infrastruktur di kawasan yang terjejas di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan sidang akhbar pengumuman bantuan segera kepada mangsa banjir di kediamannya di Seremban hari ini.

Menurutnya, bagi pembaikan infrastruktur yang rosak bergantung kepada kerosakan yang telah disahkan oleh pejabat daerah.

“Kerajaan negeri turut difahamkan ada keluarga yang terjejas sehingga rumahnya rosak dan tidak boleh didiami lagi. Bagaimanapun, bagi mereka yang mengalami kerosakan rumah yang agak teruk, mereka perlu membuat laporan polis terlebih dahulu dan disahkan oleh pejabat daerah bagi saluran bantuan,” katanya.

Sebanyak 199 keluarga yang masih berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan terdapat 96 lokasi banjir terjejas di negeri ini disebabkan oleh limpahan air sungai.

Dalam pada itu, Aminuddin menjelaskan, kerajaan negeri telah mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini untuk membantu mangsa banjir yang terjejas.

“Saya telah mengarahkan semua PBT turun padang untuk membantu mereka yang terjejas banjir. Saya juga difahamkan terdapat beberapa lokasi telah dibersihkan bagi pasca banjir,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya