IPOH: Kemerosotan pasukan bola sepak Perak mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.
Ahmad Faizal (PN-Chenderiang) yang merupakan bekas Menteri Besar berharap kerajaan negeri memberikan perhatian terhadap pasukan Perak FC yang mengalami pelbagai isu terutama kewangan.
Menurutnya, beliau percaya, jika ada sedikit sahaja perhatian daripada kerajaan negeri, ia akan menyelesaikan banyak masalah yang berlaku dalam Perak FC.
“Walaupun saya terlibat dalam Kementerian Belia dan Sukan sekarang, saya sekali lalu hendak sebut tentang pengharapan daripada ramai peminat sukan di Perak agar kerajaan negeri dapat memberi sedikit perhatian yang lebih terhadap pembangunan sukan bola sepak terutama terutama pasukan kita, Perak FC.
“Jika ada sedikit sahaja (perhatian) daripada kerajaan negeri, tentu akan menyelesaikan banyak perkara berkenaan pembangunan bola sepak negeri,” katanya pada perbahasan Belanjawan 2022 Perak pada Sidang DUN Perak di sini hari ini.
Pasukan bola sepak Perak turun liga buat pertama kali musim depan setelah berdepan isu kewangan sehingga membawa kepada penghijrahan beberapa pemain utama.
Kapten, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy dan Amirul Azhan Aznan merupakan pemain terbaru yang meninggalkan pasukan The Bos Gaurus.
Sehingga kini Perak FC masih dibelenggu isu gaji pemain yang tertunggak selain kemelut dalaman apabila Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) menyingkirkan beberapa ahli gabungannya yang mendesak mesyuarat agung luar biasa (EGM) diadakan.
Ahmad Faizal juga merupakan bekas Presiden Pafa namun meletak jawatan itu pada Januari lalu selepas tidak lagi menjadi Menteri Besar Perak sejak awal Disember tahun lalu. – UTUSAN ONLINE