Kerajaan Melaka permudahkan bantuan banjir - Sulaiman

Kerajaan Melaka permudahkan bantuan banjir

SULAIMAN Md. Ali mengadakan sidang akhbar di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. - FOTO/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seramai 83 keluarga melibatkan 483 mangsa banjir di Melaka hanya perlu memohon kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) daerah terlibat bagi menerima bantuan RM1,000 seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, kerajaan negeri mengambil pendekatan mudah kepada semua ketua keluarga mangsa banjir di Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin untuk menerima bantuan tersebut dengan kadar segera.

Menurutnya, semua mangsa banjir tidak lagi perlu melalui proses biasa untuk mendapatkan bantuan tersebut, sebaliknya hanya perlu mendaftar nama kepada JPKK sahaja tanpa perlu menunggu laporan polis dan sebagainya.

Jelasnya, melalui JPKK perkara tersebut akan dimaklumkan kepada Pejabat Daerah, Setiausaha Kerajaan Negeri dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

“Saya telah minta semua agensi yang terlibat untuk mempermudahkan penyaluran sebarang bentuk bantuan kepada mangsa banjir di negeri ini dengan kadar segera.

“Kalau boleh janganlah mangsa banjir dah seminggu balik ke rumah masih tak dapat bantuan. Tidak apalah seminggu itu, ini kalau sampai dua bulan macam mana? Bantuan diberikan bukan banyak, oleh itu saya mahu ia mesti disegerakan.

“Kali ini mangsa banjir hanya perlu daftar dengan JPKK sahaja kerana mereka lebih mengenal keluarga yang terlibat di kawasan masing-masing,” katanya dalam sidang akhbar di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini hari ini.

Tambah Sulaiman, menerusi bantuan RM1,000 itu, walaupun tidak banyak namun ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka yang terlibat untuk membeli peralatan rumah yang rosak.

Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga semalam sebanyak 34 keluarga membabitkan 135 orang mangsa masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS).

Jelasnya, hanya tiga PPS masih beroperasi, dua di Alor Gajah iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Belimbing Dalam melibatkan satu keluarga dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lubok China membabitkan seramai 19 keluarga.

“Di Jasin pula, 14 keluarga membabitkan seramai 68 orang mangsa masih berada di SK Parit Penghulu manakala semua PPS di Melaka Tengah telah ditutup,” ujarnya.

Beliau menambah, sehingga lewat tengah malam tadi, sebanyak 22 daripada 26 kawasan yang terjejas akibat banjir telah mula surut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya