PETALING JAYA: Dua aspek utama diberi fokus bagi pemulihan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS).
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pemangkin pertama yang diberi fokus adalah memanfaatkan inovasi, digitalisasi serta penggunaan teknologi untuk mendorong agenda pemulihan.
Selain itu, katanya, prinsip kelestarian yang meliputi persekitaran, sosial dan tadbir urus ke dalam strategi perniagaan mereka dijadikan sebagai pemangkin kedua.
“Pelbagai aktiviti menerusi e-dagang termasuk pembayaran secara digital, pembelajaran jarak jauh, persidangan video serta perkhidmatan logistik adalah perkara lazim di dalam ekonomi hari ini, disebabkan oleh keperluan dan peluang yang semakin meningkat.
“Ini juga adalah antara usaha yang boleh membiasakan PMKS dalam era persaingan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) yang mana kita dapat melihat kehadiran PMKS dalam talian meningkat dua kali ganda daripada 35.3 peratus yang dicatatkan pada 2019 iaitu pra-Covid-19 kepada 75.8 peratus pada 2021 (pasca Covid19)”, katanya ketika berucap merasmikan Pameran Tahunan PKS-SMIDEX 2021, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE