PUTRAJAYA: Kementerian Perpaduan Negara menafikan sekeras-kerasnya kandungan video yang tular dalam Facebook Azril Adnan bertajuk “Wow 150 ke ni..” yang mengaitkan kementerian berkenaan.
Kementerian itu dalam kenyataan berharap pihak berkenaan tidak mengaitkannya dengan berita palsu tersebut.
Menurutnya, program Kotak Mitra adalah bantuan khusus untuk masyarakat India B40 yang diselaraskan Unit Transfomasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).
“Agensi terbabit di bawah Kementerian Perpaduan Negara bagi membantu masyarakat India yang memerlukan dan terjejas akibat pandemik Covid-19.
“Kementerian ingin menegaskan bahawa program Kotak Mitra yang dijelaskan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique adalah sumbangan kotak makanan kepada masyarakat India B40 di ladang-ladang, luar bandar dan pinggir bandar yang terkesan dengan pandemik Covid-19,” katanya.
Katanya lagi, program bantuan Kotak Mitra itu dimulakan pada Julai lalu dan selesai pada bulan lalu meibatkan seramai 83,000 penerima.
“Kementerian ini juga amat kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab tersebut dan menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan sebarang berita palsu. Jangan kongsi jika tidak pasti,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE