PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan memutuskan untuk menggantung sementara penjualan tiket bas dan penerbangan bagi inisiatif Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) Malaysia dan Singapura.
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, penggantungan itu berkuat kuasa bermula esok hingga 20 Januari 2022.
Beliau berkata, keputusan ini diambil susulan kenyataan dikeluarkan Kementerian Kesihatan Singapura pada 20 Disember lalu berhubung satu kluster tempatan Covid-19 kemungkinan varian Omicron.
“Hasil ujian mendapati, dua daripada tiga kes positif itu menunjukkan kemungkinan varian Omicron dan mereka tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Katanya, bagi pengembara yang telah pun memiliki tiket perjalanan bagi VTL darat dan udara serta memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, mereka boleh meneruskan perjalanan di bawah inisiatif VTL ini.
Khairy berkata, penjualan tiket bas dan penerbangan bagi kedua-dua insiatif VTL ini akan dibuka semula bermula 21 Januari 2022 selepas penilaian risiko dibuat berdasarkan situasi Covid-19 semasa di kedua-dua negara.
Bagaimanapun, katanya, kuota tiket yang dijual akan dikurangkan daripada kuota sedia ada.
“Maklumat lanjut berhubung arahan terkini bagi penggantungan sementara penjualan tiket bas dan penerbangan bagi inisiatif VTL udara dan darat antara Malaysia – Singapura boleh dirujuk kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia (VTL Udara) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (VTL Darat),” katanya.
Katanya, semua pengembara disarankan supaya bertanggungjawab dan sentiasa mematuhi arahan serta prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan. -UTUSAN ONLINE