Kementerian Kesihatan bimbang berlaku peningkatan kes penyakit berkaitan banjir - Utusan Malaysia

Kementerian Kesihatan bimbang berlaku peningkatan kes penyakit berkaitan banjir

NOOR Azmi Ghazali bersama Chow Kon Yeow pasa majlis perasmian Hospital Kebajikan Kek Lok Si, di Georgetown, Pulau Pinang. - UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kementerian Kesihatan bimbang berlakunya peningkatan kes-kes penyakit berjangkit berkaitan banjir susulan bencana banjir di beberapa buah negeri pada masa ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, bencana banjir itu boleh menyebabkan penyakit-penyakit bawaan air seperti leptospirosis (jangkitan air kencing tikus), kolera, cirit-birit, demam, infeksi saluran pernafasan, denggi dan penyakit yang berpunca daripada pencemaran makanan.

“Setakat ini kita masih belum menerima laporan mengenai kes penyakit denggi, kencing tikus serta penyakit-penyakit bawaan air lain atau pencemaran makanan. Keadaan pada masa ini terkawal,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Hospital Kebajikan Kek Lok Si di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Hujan lebat berterusan sejak Sabtu lalu mengakibatkan hampir keseluruhan daerah di Selangor dilanda banjir manakala bencana sama turut berlaku di beberapa lokasi di Pahang, Perak, Negeri Sembilan dan Terengganu.

Menurut Noor Azmi, Kementerian Kesihatan juga mewujudkan kumpulan pegawai kesihatan yang melakukan ujian parameter pH air dan memeriksa kebersihan kualiti makanan bagi mengelakkan berlakunya pencemaran makanan yang membahayakan kesihatan.

“Mana-mana pihak yang mahu menyumbang makanan kepada mangsa banjir, mereka mesti melalui kumpulan kementerian yang memeriksa kualiti makanan dan perlu mendapat kebenaran terlebih dahulu.

“Mereka boleh berhubung dengan kementerian untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenainya, ini kerana kita bimbang berlakunya penyakit berjangkit,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, Kementerian Kesihatan bimbang kemungkinan berlakunya kluster-kluster baharu Covid-19 di kawasan-kawasan yang dilanda bencana banjir.

“Dinasihatkan semua menjaga prosedur operasi standard (SOP), kita tahu ketika ingin menyelamatkan orang ramai, susah mahu menjaga SOP, itu yang kita bimbang.

“Setakat ini, tiada kluster baharu dikesan di pusat pemindahan sementara (PPS), kita sarankan orang ramai memakai pelitup muka, menjaga jarak dan jangan berkumpul,” katanya.

Dalam pada itu tambah beliau, terdapat sejumlah mangsa banjir di Selangor dikesan positif Covid-19 sebelum mereka tiba ke PPS dan terdiri daripada pesakit Covid-19 tahap satu dan dua.

“Mereka ini telah diasingkan dan sedang menjalani kuarantin. Ada di antara pesakit menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), pusat kuarantin di PPS dan ada yang menjalaninya di rumah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya