PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) mengeluarkan amaran ribut petir yang dijangka berlaku di lima negeri sehingga pukul 9 malam ini.
Menurut Met Malaysia, ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di beberapa tempat di Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sarawak dan Sabah.
“Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di Negeri Sembilan (Kuala Pilah, Rembau dan Tampin); Melaka; Johor (Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru); Sarawak: Sri Aman, Sarikei (Pakan, Julau dan Meradong), Bintulu (Tatau dan Bintulu), Miri (Telang Usan dan Marudi) dan Limbang (Limbang) dan Sabah: Tawau (Lahad Datu), Sandakan (Kinabatangan) dan Kudat (Kota Marudu) sehingga pukul 9 malam; Sabtu, 25 Disember.
“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” jelasnya.
Terdahulu, Met Malaysia mengeluarkan amaran pada pukul 4.30 petang di laman Facebook rasminya, hari ini. – UTUSAN ONLINE