Keluarga Ainul Mardhiah mahu balas jasa rakyat Malaysia - Utusan Malaysia

Keluarga Ainul Mardhiah mahu balas jasa rakyat Malaysia

AHMAD SAFIUDDIN Ahmad Razak dan Nurul Erwani Zaidi menyusun barang sumbangan yang turut diterima daripada rakyat Melaka untuk disalurkan kepada mangsa banjir. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Ahli keluarga kanak-kanak yang menghidap ketumbuhan dalam mulut, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin mahu membalas jasa rakyat Malaysia dengan menyumbang dan mengumpulkan kira-kira 10 tan barangan keperluan buat mangsa banjir.

Bapa Ainul Mardhiah, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 26, berkata, sebelum ini keluarganya mendapat perhatian dan simpati rakyat Malaysia yang tidak putus mendoakan kesihatan dan menyalurkan wang ringgit selepas penderitaan anaknya dikongsikan, dua tahun lalu.

Jelasnya, kini tiba gilirannya dan ahli keluarga membalas jasa orang ramai dengan memberi dan mengumpulkan barangan keperluan mangsa banjir di Kuala Lumpur serta Selangor.

“Sebagai ibu bapa Ainul Mardhiah yang pernah mendapat perhatian jutaan rakyat Malaysia, hari ini saya tampil untuk membantu mangsa banjir kerana ramai yang bantu ketika kami berada dalam waktu getir dahulu.

“Kami sangat terhutang budi dengan semua bantuan diterima, termasuk wang ringgit, tenaga dan kepakaran, jadi kami buat mana yang termampu,” katanya ketika ditemui pemberita di Pasar raya Asar Halmart yang diusahakannya di Ayer Molek di sini hari ini.

Ditanya mengenai longgokan barangan di hadapan premis itu, Ahmad Safiuddin memberitahu, sebahagian besar adalah daripada rakyat Melaka.

“Saya ada menguar-uarkan misi ini di laman sosial termasuk Facebook dan tidak sangka ramai yang datang untuk turut sama menyumbang pelbagai keperluan asas.

“Antara barangan yang akan dihantar termasuk pakaian, makanan, telekung, barang mandian, serbuk pencuci, susu, lampin bayi dan dewasa serta pelbagai lagi dengan anggaran keseluruhannya berat kira-kira 10 tan,” katanya.

Sementara itu, isterinya, Nurul Erwani Zaidi, 26, memberitahu, kedua ibu dan bapanya turut menjadi mangsa banjir di Klang, Selangor, lantas bergegas balik bagi membantu keluarga di sana.

“Saya sangat sedih melihat keadaan bencana di sana dan memahami perasaan mereka yang bimbang dengan keselamatan ahli keluarga apabila hilang tempat berteduh dalam sekelip mata. 

“Jadi, saya berbincang dengan suami untuk membantu mangsa banjir, kami tidak dapat berikan wang ringgit yang banyak tetapi berharap dengan sumbangan bersama rakyat Melaka ini dapat mengurangkan sedikit beban ditanggung,” katanya.

Dalam pada itu, Nurul Erwani turut berkongsi perkembangan positif Ainul Mardhiah yang kini berusia tiga tahun.

“Ainul kini semakin ceria dan aktif, namun kami masih meneruskan rawatan susulan dan fokus untuk mencari kaedah sesuai mengajarnya makan menggunakan mulut,” katanya.

Terdahulu, kisah Ainul Mardhiah yang menghidap Germ Cell Tumour mendapat perhatian negara apabila penderitaanya dikongsikan secara meluas ketika dia berusia 9 bulan.

Pada April 2019, Dr. Nur Amalina Che Bakri turut menghubungi Nurul Erwani untuk membantu dan Ainul Mardhiah telah menjalani pembedahan di London, United Kingdom pada Jun tahun sama dengan tumor seberat 200 gram yang membesar dalam mulut berjaya dikeluarkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya