Sabah (Warisan) kembali ‘bergelora’ apabila ‘orang kuat’ yang menjadi antara pelopor penubuhan parti itu, Datuk Peter Anthony bertindak meninggalkan bahtera perjuangan parti.
Peter yang juga Naib Presiden Warisan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau, Datuk Juil Nuatim mengumumkan perkara itu dalam sidang akhbar di sini semalam.
Di lain sudut, ADUN Melalap itu meninggalkan Warisan dan akan menubuhkan sebuah parti baharu yang mesra kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September tahun lalu, Peter mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap setelah memperoleh 5,694 undi bagi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Jamawi Jaafar yang memperoleh 3,526 undi.
Bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah itu adalah ADUN Warisan keempat mengumumkan keluar daripada parti pada tahun ini.
Tiga wakil rakyat Warisan yang keluar parti sebelum ini ialah ADUN Sebatik, Hassan A. Gani Pg Amir; ADUN Sindumin, Datuk Dr. Yusof Yacob dan Ahli Parlimen Lahad Datu merangkap ADUN Segama, Datuk Mohamaddin Ketapi.
Ditanya sama ada tindakan keluar parti itu ada kaitan dengan kes mahkamah yang dihadapinya ketika ini, Peter menafikan dakwaan berkenaan.
“Keputusan ini tiada kena mengena dengan kes (mahkamah). Ini demi suara akar umbi yang mahukan platform parti tempatan yang betul-betul perjuangkan kepentingan Sabah.
“Saya percaya mahkamah akan menentukan siapa sebenarnya yang benar. Adakah saya memalsukan dokumen atau tidak kerana perkara ini masih di mahkamah, jadi kita biarkan mahkamah menentukan,” katanya.
Menurutnya, Warisan dilihat sudah tersasar daripada perjuangan asal, prinsip ‘Sabah for Sabahan’ telah tersasar apabila mereka melebarkan sayap ke Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
“Rata-rata rakyat Sabah mahukan satu platform parti yang menjurus kepada kepimpinan negeri Sabah dan betul-betul memperjuangkan hak orang Sabah. Itu yang paling penting, tiada guna parti (tempatan) ditubuhkan tapi pergi luar,” katanya.
Justeru, beliau akan membentuk sebuah parti baharu yang berbilang kaum dan sepenuhnya parti tempatan.
Setakat ini, Warisan memiliki 17 daripada 73 kerusi DUN Sabah.
Dalam perkembangan sama, Peter berkata, beliau bersedia mengosongkan kerusi DUN Melalap sekiranya perlu.
Jelasnya, jika perundangan parti memerlukannya mengosongkan kerusi DUN tersebut dan bertanding semula, beliau sedia untuk bertanding di bawah parti baharu.