Kejadian banjir Jumaat lalu hampir sama bah merah 2014

Kejadian hampir sama bah merah 2014

NUR Amin Nor Azahar (kanan) mengangkat seorang warga emas, Maliah Madun ke PPS ketika banjir melanda di Kampung Pamah Rawas, Raub, Pahang. - FOTO/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: “Banjir tahun ini hampir sama seperti mak cik pernah alami peristiwa bah merah 2014 sehingga banyak kawasan kampung ditenggelami air dan kerosakan harta benda,” kata seorang warga emas, Maliah Madun, 86, di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Rumah Belia Kampung Pamah Rawas di sini.

Bercerita kepada Utusan Malaysia, Maliah berkata, jika semalam tidak ada bantuan membawa dia keluar sudah tentu berlaku perkara yang tidak diingini kerana banjir sudah mula melanda kampung tersebut.

Warga emas yang merupakan mangsa banjir tertua di PPS kampung itu berkata, tanda-tanda banjir sudah kelihatan apabila air Sungai Dong berdekatan mula melimpah ke kampung tersebut, tetapi belum sampai ke kediamannya.

“Saya masih di dalam rumah mencari barang berharga untuk dibawa ke PPS dan tahu sangat saya diminta berpindah memandangkan banjir sudah melanda.

“Banjir tahun ini agak mengejutkan kerana air sungai cepat melimpah ke kampung ini. Saya hanya membungkus pakaian dan barang berharga untuk dibawa ke luar ke tempat selamat,” katanya di PPS Rumah Belia Pamah Rawas di sini semalam.

Cerita Maliah, dia terdengar suara orang menjerit supaya keluar rumah untuk dibawa ke PPS kerana dia tidak mampu berjalan ekoran sakit lutut dan kaki.

“Anak dan menantu serta tiga orang cucu saya sudahpun keluar berpindah ke PPS pada sebelah pagi tadi. Mungkin mereka (anak dan menantu) tidak memaksa saya dan yakin akan selamat,” katanya.

Maliah berkata, dia diberitahu ramai mangsa sudah berpindah memandangkan air Sungai Dong begitu cepat melimpah kerana hujan lebat sejak empat hari lalu.

Katanya, dia dibawa keluar oleh seorang pemuda kampung tersebut dengan mengusungnya keluar rumah kerana tidak mampu berjalan.

“Syukurlah saya sudah berada di tempat ini (PPS) dan ramai sanak-saudara dan jiran yang menjadi mangsa banjir.

“Namun saya agak sedih kerana semua barang di dalam rumah tidak sempat dibawa keluar. Apapun saya reda dengan ujian Allah SWT,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Belia Kampung Pamah Rawas, Nur Amin Nor Azahar, 31, berkata, dia masuk ke dalam rumah lalu mengangkat warga emas itu keluar kerana banjir sudah melanda.

“Dia (Maliah) perlu dibawa keluar segera dengan mengangkat (badannya) sebelum rakan sukarelawan bencana kampung ini datang membantu. Dia antara penduduk tinggal di hujung kampung ini antara terakhir dibawa ke PPS.

“Mahu tidak mahu, saya terpaksa mengangkatnya hampir 50 meter sebelum dibantu oleh seramai lapan orang rakan sukarelawan mengusungnya sejauh satu kilometer ke PPS Rumah Belia,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Kemajuan Kemakmuran Kampung (JKKK) Pamah Rawas. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya