Kedutaan AS sahkan ada pegawai Blinken positif Covid-19 - Utusan Malaysia

Kedutaan AS sahkan ada pegawai Blinken positif Covid-19

SUASANA petugas media ketika kehadiran Antony Blinken untuk liputan sidang akhbar dengan Saifuddin Abdullah di Wisma Putra, Putrajaya hari ini. - IHSAN WISMA PUTRA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kedutaan Besar Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur hari ini mengesahkan salah seorang daripada pegawai delegasi negara tersebut positif wabak Covid-19.

Menerusi kenyataan diedarkan, pihak kedutaan itu bagaimanapun menjelaskan individu tersebut tidak terlibat dalam mana-mana program disertai Setiausaha Negara AS, Antony Blinken.

“Ini termasuk acara pertemuan rasmi dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di pejabatnya di Parlimen di ibu kota setelah sesi kunjungan hormat di Wisma Putra pagi ini. Kami juga ingin memaklumkan bahawa semua anggota delegasi sudah pun diuji sebagai negatif Covid-19 sejurus selepas tiba di Malaysia malam tadi,” kata kenyataan akhbar kedutaan tersebut.

Isu itu tular diperkatakan ramai warganet tempatan apabila ciapan berita mengenainya dinukilkan oleh koresponden stesen penyiaran awam dari negara jiran melalui akaun sosial Twitter dan mencetuskan kebimbangan dalam kalangan petugas media yang membuat liputan sidang akhbar Blinken bersama Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah di Wisma Putra.

Difahamkan, kumpulan wartawan dibawa khas dari AS menyertai delegasi berkenaan, tetapi mereka diasingkan daripada kelompok wartawan Malaysia ketika sidang akhbar berlangsung.

Blinken yang julung kali dalam rangka lawatan rasmi ke Malaysia, tiba di negara ini pukul 10.30 malam tadi selepas mengunjungi Indonesia kelmarin sebelum bertolak ke Thailand esok.

Dalam pada itu, Utusan Malaysia difahamkan bahawa diplomat AS tersebut merupakan pegawai akhbar yang ditugaskan mengikuti program jelajah Blinken di tiga negara Asia Tenggara. Beliau berada di ibu kota Indonesia, Jakarta kelmarin sebelum ke Malaysia dan dijadualkan berlepas ke ibu negara Thailand, Bangkok lewat malam ini untuk persediaan awal pada esok.

Bagaimanapun, Wisma Putra dalam jawapan balas menerusi aplikasi kumpulan WhatsApp rasmi dengan media mengesahkan bahawa petugas itu tidak hadir program sidang akhbar.

“Kedutaan AS bahkan sudah memaklumkan kami awal pagi tadi dan mereka sudah mengatur gerak staf itu menurut prosedur operasi standard oleh Kementerian Kesihatan. Pegawai akhbar itu sudah segera diasingkan dan dihantar ke sebuah pusat kuarantin manakala semua kontak rapat telah disahkan sebagai keputusan negatif. Kumpulan delegasi AS turut telah diarah sekali lagi menjalani ujian saringan dan kesemua mereka didapati bebas daripada wabak itu dalam tempoh masa 12 jam lalu.

Wisma Putra juga memberi jaminan bahawa pihaknya sentiasa memantau dengan rapi segala perkembangan dan akan mengemas kini sebarang situasi baharu dari semasa ke semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya