PONTIAN: Kedai Soto Parit Sikom atau lebih dikenali sebagai Soto Haji Masad di Kampung Parit Sikom dekat sini yang berusia 36 tahun musnah terbakar dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang kelmarin.
Mohd. Taufik Masad, 34, yang kini mengambil alih perniagaan tersebut daripada bapanya berkata, kedainya baru dibuka ketika kejadian dengan tiga pekerja dan empat pelanggan sedang menikmati makanan di dalam premis.
“Waktu itu saya pulang ke rumah sekejap bagi mengambil nasi himpit. Sebaik sahaja kembali ke kedai, kebakaran berlaku dengan begitu cepat walaupun kami berusaha memadam api yang sedang marak.
“Saya dimaklumkan oleh pekerja, kejadian berlaku ketika mereka ingin menukar tong gas yang kosong ke tong gas baharu untuk menggoreng ayam, tetapi punca sebenar kejadian masih dalam siasatan pihak bomba,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, semalam.
Menurut Mohd. Taufik, pelanggan dan pekerjanya cuba memadam kebakaran dengan menyiram air selain bantuan tong pemadam api daripada pemilik kedai runcit di hadapan premis mereka namun usaha itu gagal.
“Berlaku dua letupan ketika kejadian dan api menyambar bahagian bumbung kedai saya,” jelasnya yang bersyukur tiada sebarang kemalangan jiwa kepada pekerja dan pelanggannya yang datang ketika itu.
Katanya, dia tidak dapat menganggarkan sebarang kerugian yang dialami dalam kejadian tersebut tetapi bersedih kerana kedai soto yang diasaskan oleh bapanya, Masad Mohd. Basri telah tiada.
“Selepas ayah ‘bersara’ daripada menjalankan perniagaan Soto Haji Masad, sayalah yang mengambil alih sepenuhnya perniagaan ini sejak lima tahun yang lalu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian, Penolong Penguasa Bomba Azhar Abd. Jalil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada pukul 2.10 petang.
Menurut beliau, pihaknya menghantar lapan orang anggota dengan sebuah jentera ke lokasi kejadian dan sebaik sahaja Pasukan Keluar Operasi (PKO) tiba mendapati api di bangunan kedai separuh kekal itu sudah marak.
“Kebakaran tersebut telah memusnahkan kira-kira 80 peratus struktur bangunan berukuran 80 x 20 kaki itu,” katanya ketika dihubungi.