Kedai daging buaya di Melaka diserbu Perhilitan - Utusan Malaysia

Kedai daging buaya di Melaka diserbu Perhilitan

CONTOH produk daging buaya sejuk beku yang dirampas Perhilitan dari sebuah premis perniagaan di Melaka. – Foto media sosial
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tindakan sebuah kedai di Melaka yang menjual daging buaya menerima padah apabila diserbu oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Menurut kenyataan agensi tersebut hari ini, pemeriksaan ke atas premis perniagaan itu dilaksanakan semalam yang melibatkan penguat kuasa Perhilitan dari Kuala Lumpur dan Melaka.

Hasil daripada Operasi Bersepadu Khazanah itu, mereka berjaya menemui satu bungkusan hidupan liar yang disyaki daging buaya dan tidak memiliki permit penyimpanan sah Perhilitan.

“Satu laporan kemudian dibuat di Balai Polis Batu Berendam, manakala barang kes itu dibawa ke Pejabat Perhilitan Melaka untuk tindakan selanjutnya,” kata kenyataan agensi tersebut.

Kes berkenaan ujar Perhilitan, akan disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, namun agensi itu tidak menyatakan adakah pemilik barangan tersebut akan turut didakwa.

Pemilikan bahagian haiwan liar tanpa dokumen jika disabitkan kesalahan di mahkamah boleh dihukum denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Utusan Malaysia difahamkan, bungkusan itu merupakan produk daging buaya disejuk beku kualiti premium terbaik yang diimport khas dari Australia dengan harganya dijual kira-kira RM64.

Ia malahan ditawarkan secara terbuka menerusi satu laman e-dagang tempatan yang popular dengan produk berasaskan daging khinzir tetapi penghantaran terhad sekitar Lembah Klang.

Menurut ulasan disertakan dalam portal jualan atas talian itu, pengeluarnya mendakwa daging buaya segar tersebut mampu memberi tahap kesihatan hidup bermutu kepada si pengguna.

Syarikat pengimportnya pula beralamat di Subang Jaya, Selangor dan merupakan perniagaan keluarga sejak tiga generasi dengan menawarkan pelbagai jenis produk terbaik dari gred A.

Ini termasuk daging haiwan ruminan meliputi lembu, kambing, bebiri dan babi selain ternakan itik dan ayam di samping makanan laut terbaik antaranya ikan salmon, sotong dan udang.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya