LUMUT: Kebimbangan penduduk di Kampung Selamat, Sitiawan, dekat sini kemungkinan berdepan banjir kilat dalam musim tengkujuh berakhir apabila parit di kampung itu yang tersumbat dan dipenuhi belukar dibersihkan minggu lalu.
Parit sepanjang lebih kurang dua kilometer di sepanjang jalan kampung tersebut, dibersihkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) sekali gus meredakan kebimbangan penduduk.
Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham menjelaskan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Teoh Yee Chern mengadu kepada beberapa jabatan kerajaan yang berbeza sejak beberapa bulan lalu mengenai masalah parit yang tidak dibersihkan itu.
Menurutnya, parit tersebut telah dipenuhi dengan pokok dan belukar sehingga menjadi semak samun dan tersumbat.
“Saya telah membawa perkara tersebut ke Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD) dan JKR mendapati bahawa parit itu berada di bawah seliaan mereka dan mula membersihkan parit tersebut minggu lalu.
“Walaupun DAP bukan ahli kerajaan negeri ataupun Kerajaan Persekutuan, kami sebagai wakil rakyat dijemput menyertai mesyuarat JPTD yang dianggotai oleh semua pegawai tertinggi setiap jabatan kerajaan dalam daerah Manjung.
“Dalam mesyuarat pada 23 Disember lalu, saya menyampaikan rungutan rakyat dan menyatakan bahawa semestinya ada pihak yang patut bertanggungjawab ke atas parit tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Koo Ham turut memberi amaran bahawa sekiranya pihak kerajaan gagal membersihkan parit-parit sekitar daerah Manjung dari semasa ke semasa, ia akan menyebabkan parit tersumbat lalu mengakibatkan banjir kilat yang teruk pada musim hujan di mana taburan hujan meningkat.
Justeru, beliau berharap kerajaan mengambil sikap berwaspada dan mengambil iktibar daripada banjir teruk yang berlaku di beberapa negeri khususnya Selangor dan Pahang baru-baru ini.
Menurutnya, walaupun bencana alam tidak dapat dielakkan, namun ia tidak harus menjadi bertambah buruk disebabkan tindakan dan kelalaian manusia sendiri. – UTUSAN ONLINE