KUBANG PASU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut selepas kereta dinaiki bersama keluarganya terjunam ke dalam Sungai Korok, Jitra di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Rodzi Abu Hassan berkata, mangsa, Haraz Safiy Haniz disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Zon Merah Hospital Jitra di sini pada pukul 12.20 tengah hari ini.
Sementara itu, menurutnya, ibu bapa mangsa iaitu Haniz Mohamad, 35, dan Nurul Syahira Zamri, 34, dari Kampung Sungai Kechik, Kuala Nerang dekat sini mengalami kecederaan ringan dan luka di dahi.
“Seorang lagi anak mereka, Syafin Haadif, 2, pula masih dirawat di Zon Merah Hospital Jitra,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Rodzi memberitahu, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan yang membabitkan kereta jenis Perodua Myvi itu pada pukul 11.29 pagi ini.
“Kita dimaklumkan terdapat satu kemalangan melibatkan sebuah kereta yang disyaki hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan dan telah terlanggar papan tanda di bahu kanan jalan sebelum terjatuh ke dalam sungai di Jalan Sungai Korok.
“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kereta tersebut masih berada di tempat kejadian dan semua mangsa telah dikeluarkan dari kereta tersebut oleh Haniz,” katanya.
Tambahnya, mayat kanak-kanak itu telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat.
Katanya, kemalangan itu disiasat di bawah Sekyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan.