KLANG: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun menemui ajal dipercayai akibat didera dengan kayu, tali pinggang dan penyangkut baju, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima laporan polis dibuat seorang pegawai perubatan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, pada pukul 6.20 petang.
Katanya, laporan itu memaklumkan seorang kanak-kanak lelaki dibawa ibunya ke hospital berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Pemeriksaan kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia dengan kesan lebam pada keseluruhan badannya.
“Hasil siasatan mendapati kanak-kanak itu disyaki didera dan dipukul dengan kayu, tali pinggang dan penyangkut baju,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Hoong Fong, bertindak atas maklumat, pihaknya memberkas seorang wanita berusia 27 tahun yang juga ibu mangsa pada Sabtu lalu.
“Seorang lagi suspek iaitu teman lelaki wanita berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Kedua-dua suspek kini direman selama enam hari sehingga 30 Disember ini (Khamis),” jelasnya.
Tambah beliau, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Kes berkenaan masih disiasat dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat,” katanya.