PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan, isu seorang kanak-kanak berumur satu tahun 11 bulan yang juga mangsa banjir ditemukan lemah di Taman Sri Muda, Shah Alam kononnya isu kelewatan respon kesihatan tidak benar.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, diagnosis definitif ke atas kes mangsa banjir itu adalah Acute Gastroenteritis (AGE) bersama lima peratus dehidrasi yang berpunca daripada bahan mentah makanan yang rosak dan faktor kebersihan yang terjejas akibat banjir.
Katanya, ini jelas menunjukkan tiada isu kelewatan respon kesihatan yang berlaku berkaitan isu ini.
“Kejadian bermula dengan abangnya yang berusia 15 tahun dan kakak berusia lapan tahun yang mengalami gejala muntah-muntah pada 21 Disember lalu dan mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar. Namun keesokannya pada pukul 8.30 malam, kanak-kanak tersebut mulai muntah serta kelihatan letih dan kurang aktif sebelum ayahnya menghubungi 999 pada pukul 10 malam.
“Mereka sekeluarga dibawa ke klinik medan KKM di Taman Sri Muda setengah jam kemudian tetapi kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang bagi rawatan susulan, manakala abang dan kakaknya diberi rawatan pesakit luar di klinik medan KKM dan dibenarkan pulang ke pangkuan keluarga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, kanak-kanak itu pada mulanya diletakkan di triage merah kerana mengalami dehidrasi lima peratus sebelum dipindahkan ke Zon Kuning dan diberikan rawatan cecair intravena (IV) selepas keadaannya semakin pulih.
“Selepas kanak-kanak itu menunjukkan respons positif dan semakin pulih, dia seterusnya diberikan rawatan lanjut sebagai pesakit dalam di wad kanak-kanak Kompleks Ibu dan Bayi (KRIBA) HTAR. Hasil diagnosis definitif adalah AGE bersama lima peratus dehidrasi,” katanya. – UTUSAN ONLINE