ALOR GAJAH: Sebahagian besar penduduk Taman Wira Indah di Lubok China dekat sini tidak menyangka akan berlakunya banjir besar yang menyebabkan kemusnahan harta benda.
Seorang penduduk, Omar Jusuh, 63, berkata, banjir tidak pernah berlaku sejak dia membeli kediaman di taman berkenaan pada 2004.
Menurutnya, jika paras air Sungai Lubok China meningkat sekalipun, ia hanya melibatkan kawasan hadapan taman sahaja dan tidak menjejaskan kediaman penduduk.
“Hujan yang berterusan sejak Khamis membuatkan saya tidak sedap hati, namun tidak berbuat apa-apa kerana tidak menyangka akan berlaku banjir besar.
“Rumah saya mula dimasuki air pada pukul 5.15 pagi dan kejadian berlaku dengan pantas menyebabkan saya tidak sempat menyelamatkan barang-barang penting. Perkakas elektrik seperti mesin basuh, peti ais dan kipas meja ditenggelami air.
“Jiran-jiran lain turut tidak berbuat apa-apa dan membiarkan sahaja barang mereka ditenggelami air. Mungkin mereka juga seperti saya yang tidak menyangka akan berlakunya banjir,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Tambah pesara kerajaan itu, kejadian tersebut menjadikannya trauma setiap kali hujan lebat.
Katanya, sukar untuk dia lelapkan mata kerana sentiasa terbayangkan air bah yang telah memusnahkan harta bendanya.