PETALING JAYA : Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT) Benjamin Mora mengakui pasukannya tidak beraksi seperti biasa, selain menafikan bahawa anak buahnya bersikap terlalu yakin mampu menewaskan Kuala Lumpur City (KL City).
“Saya tidak fikir mereka terlalu yakin, kerana pemain begitu fokus dan bermotivasi. Hanya menerusi satu hantaran silang menyaksikan kami dibolosi gol pertama kerana kehilangan kawalan.
“Situasi itu boleh berlaku, tiada siapa yang perlu dipersalahkan kerana perkara mudah untuk meletakkan kesalahan ini adalah kepada pemain dan jurulatih.
“(Perlu lebih agresif), Ya itu yang saya beritahu pemain pada rehat separuh masa iaitu mempercepatkan tempo, memberi lebih tekanan dan (memanfaatkan peluang) kerana KL selesa ketika kedudukan berakhir 0-0.
“Pasukan lawan menunggu kesilapan kita ketika kita mencari cara untuk menembusi benteng KL. Kami boleh dapat kejuaraan jika diambil kira dari segi penguasaan bola namun untuk memenangi pertandingan ini, kita memerlukan gol,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
JDT terpaksa ‘berputih mata’ untuk mempertahankan Piala Malaysia yang dimenangi mereka pada 2019 selepas tunduk kepada KL City 2-0 dalam aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.
Ketika ditanya mengenai kedudukan selaku ketua jurulatih, Mora menyerah keputusan mengenai masa depannya bersama skuad Harimau Selatan kerana perkara berkenaan adalah di luar kawalannya.
Bagaimanapun, jurulatih dari Mexico itu yang pernah membawa Harimau Selatan memenangi beberapa kejuaraan termasuk Piala Malaysia 2019, sejak mengendalikan JDT buat kali kedua pada 2018, mengakui setakat ini hubungannya dengan pihak pengurusan dan pemain adalah sangat baik.
“Mungkin (kehilangan pekerjaan), tetapi saya bukan orang yang buat keputusan itu. Saya mempunyai hubungan yang sangat baik dengan pengurusan dan pemain. Saya sentiasa cuba untuk menang, saya sentiasa berusaha melakukan yang terbaik dan bekerja keras untuk JDT.
“Jika pihak pengurusan atau TMJ (Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim) berpendapat itulah penyelesaiannya, mereka akan maklumkan kepada saya, tetapi buat masa ini kami dalam keadaan sukar, kami okey, kami baik dan selepas ini kami akan mengkaji semula keadaan bila tiba masanya,” jelasnya.
Tambahnya, meskipun keputusan itu tidak memihak kepada pasukannya, namun pemain telah bermain dengan baik dan beliau melihat kekalahan itu dari sudut positif bagi persiapan membina skuad yang lebih mantap pada masa hadapan.