KUALA LUMPUR: Pelakon Nynaa Harizal dan suaminya, Mohamed Fahmi Mohamed Ilyas yang berhadapan dengan kontroversi rumah tangga sehingga tular dalam laman sosial awal bulan ini, mencapai kata sepakat di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini untuk berbaik semula.
Persetujuan kedua-duanya untuk berbaik semula direkodkan di hadapan Hakim Syarie Mohd. Yusof Sulaiman pada sebutan semula kes permohonan Mohamed Fahmi agar Nynaa kembali taat.
“Kalau pagi tidak bercakap, petang itu dah kena geletek isteri (bergurau senda), biar ada komunikasi,” nasihat hakim berkenaan sambil menyatakan perbincangan dalam rumah tangga adalah penyelesaian terbaik.
Mereka kelihatan romantik bersama ketika hadir ke mahkamah berpegangan tangan ditemani ahli keluarga terdekat kedua-dua belah pihak.
Pada 11 November lalu, Mohamed Fahmi, 29, selaku plaintif memfailkan tuntutan supaya Nynaa (defendan) atau nama sebenarnya Nurul Hanynaa Harizal, 25, kembali taat.
Berdasarkan dokumen tuntutannya, plaintif memohon perintah mahkamah agar defendan kembali taat dan pulang ke kediaman mereka di Jalan Pinang di sini.
Plaintif membuat tuntutan itu bertujuan menyelamatkan pernikahan mereka supaya defendan kembali menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dan hidup dalam kasih sayang.
Sejurus selepas tamat prosiding, Mohamed Fahmi ketika ditemui media berkata, beliau akan mengadakan satu sidang akhbar khas dalam masa terdekat bagi mengulas lanjut mengenai isu rumah tangganya.
“We will explain everything about our situation (kami akan jelaskan situasi kami). Dekat PC (press confrence) nanti you guys (kamu semua) boleh tanya 10, 20, 30 soalan,” katanya.
Dalam prosiding hari ini, Mohamed Fahmi diwakili Peguam Syarie Datuk Zainul Rijal Abu Bakar manakala Nynaa diwakili Peguam Syarie Roslizam Rahim.
Sebelum ini, media turut melaporkan Nynaa hadir di Mahkamah Rendah Syariah Johor Bahru, Johor bagi satu prosiding sebutan permohonan perceraian secara baik dengan Mohamed Fahmi.
Kata Nynaa, pihaknya telah memfailkan Permohonan Penceraian Dengan Talaq atau Dengan Perintah di bawah Seksyen 47 Enakmen Keluarga Islam (Negeri Johor) Tahun 2003.
Kontroversi pasangan itu bermula apabila pada 3 November lalu media hiburan melaporkan Mohamed Fahmi tidak pasti di mana keberadaan isterinya namun mengesyaki Nynaa berada di kediaman keluarga mentuanya di Johor selepas ‘dilarikan’ tanpa kebenarannya beberapa hari sebelum itu.
Difahamkan, bapa Nynaa yang merupakan seorang pesara tentera tidak merestui perkahwinan mereka disebabkan faktor kewangan.
Justeru, Mohamed Fahmi membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam berhubung kejadian itu dan meminta pihak polis menyelamatkan isterinya yang dakwanya, dilarikan secara paksa.
Mohamed Fahmi dan Nynaa mendirikan rumah tangga pada 28 Ogos lalu dan tidak dikurniakan cahaya mata.