PASIR GUDANG: Kerajaan perlu membuat kajian dan pertimbangan sebelum mengadakan rundingan semula berhubung pelaksanaan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang dibatalkan sebelum ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd. Salleh berkata, rundingan baharu perlu memberikan situasi menang-menang kepada kedua-dua negara kerana Malaysia sudah membayar pampasan berjumlah RM320.27 juta kepada Singapura bagi kos pembatalan projek sebelum ini.
“Walaupun cadangan menyambung semula projek HSR disuarakan Malaysia dan disambut baik Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, kita tidak perlu terlalu gopoh dalam hal ini. Selain Kabinet, mungkin pandangan rakyat perlu diambil kira kerana peruntukan untuk sambung semula projek HSR bukan sedikit.
“Pelbagai isu timbul sebelum ini, misalnya pampasan yang kita bayar kepada Singapura besar jumlahnya sedangkan projek HSR lebih tertumpu di Malaysia tetapi negara ini pula yang harus memberi ganti rugi, jadi kita perlu bijak dalam hal ini,” katanya ketika melakukan tinjauan harga barangan di Pasaraya Econsave, Taman Scientex.
Che Zakaria bagaimanapun tidak menafikan pelaksanaan projek itu akan memberi manfaat termasuk menyediakan peluang pekerjaan khususnya di sepanjang jajaran perkhidmatan itu.
“Sama ada HSR itu mengikut perancangan asal atau mengikut cadangan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mencadangkannya disambung sehingga Thailand, semua itu perlu dibawa ke Parlimen untuk dibincangkan,” katanya.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu melaksanakan skim kawalan harga dan menetapkan harga siling untuk sayur serta barangan mentah ekoran kenaikan harga barangan itu ketika ini.
Menurut Che Zakaria, skim kawalan harga terhadap 19 barangan utama khususnya sayur import seperti yang dikuatkuasakan setiap kali menjelang musim perayaan perlu dibuat segera.
Selain itu, anggota dan penguatkuasa KPDNHEP juga perlu melakukan pemantauan dan operasi bersepadu dengan kerap terutama di kawasan tumpuan orang ramai seperti pasar basah, pasar pagi dan pasar tani.
“Janganlah KPDNHEP keluarkan amaran sahaja, kenakan kompaun terhadap peniaga yang melanggar Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dengan hukuman maksimum termasuk gantung lesen perniagaan mereka.
“Peniaga juga diwajibkan letak tanda harga kerana tinjauan saya di pasar basah dan pasaraya sekitar Pasir Gudang, peniaga tidak meletakkan harga barang dengan alasan takut pelanggan lari,” katanya.
Tambahnya, KPDNHEP juga boleh mengambil inisiatif dengan meletak anggota atau penguat kuasa berpakaian preman di tempat tumpuan bagi memantau peniaga yang ingkar dan terus mengeluarkan kompaun serta merta jika melakukan kesalahan.