KUALA LUMPUR : Mengejutkan banyak pihak menerusi berita pernikahannya dengan seorang lelaki bernama Mohd Nooraizal Rasip pada 12 Disember lalu, penyanyi Siti Saida Tarudin, 45, mengaku ia merupakan perkahwinan kali ketiga dalam hidupnya.
Menurut Saida yang juga kakak kepada penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, lelaki yang kini bergelar suaminya itu merupakan seorang sahabat lama yang dikenalinya.
“Saya memang sudah berpisah dengan bekas suami. Namun, memilih untuk tidak menggembar-gemburkannya kepada umum. Saya anggap jodoh tak panjang antara kami.
“Dalam tempoh kembali solo, saya tidak menduga insan yang sudah lama dikenali atas kawan itu kini bergelar suami.
“Saya percaya jodoh baru ini juga merupakan ketentuan dan sebuah takdir yang sudah tertulis. Di saat sedikit demi sedikit tertutup hati, tapi siapa menduga, akhirnya Allah SWT menggerakkan hati untuk menerima kehadirannya dalam hidup kini,”katanya.
Berkongsi lanjut, Saida berkata, dia mendirikan rumah tangga dengan Noraizal selepas lima bulan menjalinkan hubungan yang serius dan mengenali hati budi dengan lebih mendalam.
Saida juga memaklumkan suaminya yang bertugas sebagai pengurus kanan bahagian operasi di sebuah syarikat kewangan itu berusia sebaya dengannya selain masih bujang sebelum berkahwin dengannya.
“Kehadirannya memberi cahaya dalam hidup saya. Dia menerima saya dan anak-anak seadanya. Apa yang membuatkan saya tertarik dengannya adalah sifat kedewasaan, kejujuran dan keikhlasan hatinya.
“Usianya sendiri juga sudah molek untuk berumah tangga. Dia sendiri memikul tanggungjawab menjaga lima orang adik perempuannya. Itu juga yang buat saya yakin dia boleh menjaga saya dengan baik.
“Segala galanya turut dipermudahkan dan restu keluarga masing-masing cukup penting. Kami bernikah dan bersanding pada hari sama. Insya-Allah berkemungkinan ada lagi sebuah majlis untuk sanak-saudara sebelah suami sedang dirancang,” kata ibu kepada empat cahaya mata ini.
Untuk info, Saida yang juga bekas peserta Akademi Fantasia (AF) musim keenam mengesahkan sudah berpisah dengan bekas suami sejak Mac lalu.
Perkahwinan kedua yang dibina pada 2016 itu hanya bertahan sekitar empat tahun.
Menurutnya lagi, anak bongsunya, Siti Nurul Mashitah, kini tinggal bersamanya namun tiga yang lain menetap dan dijaga oleh bapa mereka.
Terdahulu, Saida pernah mendirikan rumah tangga dengan suami pertama, Mohd Ghazali Yahya Zikri pada 14 Disember 1996, namun berpisah pada 7 Oktober 2011.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Siti Nurunnyssa, Anas, Khalid dan Siti Nurul Mashitah.
Saida kemudiannya berkahwin untuk kali kedua pada 2016 bersama seorang ahli perniagaan, Hafiizh Che Mat sebelum kedua-duanya membuat keputusan untuk berpisah.