KUALA NERUS: Jutawan hartanah, Mohamad Azlan Abdullah @ Ali memperuntukkan sebanyak RM50,000 bagi membantu mangsa-mangsa terjejas banjir di negara ini.
Mohamad Azlan berkata, sumbangan itu akan diagihkan kepada penduduk di Selangor dan Pahang di samping agensi media serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Katanya, selain bantuan kewangan, mangsa banjir menerima peralatan pembersihan dan barangan makanan.
“Pemberian sumbangan ini sebagai tanda keprihatinan kita kepada mereka yang ditimpa bencana dan diharapkan dapat meringankan bebanan akibat kehilangan harta benda.
“Antara yang turut dibantu ialah anggota bomba kerana saya difahamkan penempatan mereka turut ditenggelami banjir di Shah Alam, Selangor,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada Presiden Kelab Wartawan Media Terengganu (Kawat), Khairul Azlam Mohamad, di sini hari ini.
Mohamad Azlan yang juga Pengerusi Syarikat Azlan Al Amin Group Holdings Sdn. Bhd. berkata, pihaknya menyediakan perkhidmatan helikopter bagi membantu kumpulan NGO menyalurkan bantuan di kawasan yang terputus hubungan di Temerloh, Pahang.
“Banyak jalan darat tidak dapat dilalui kerana banjir jadi kita menyediakan kemudahan helikopter selama dua hari bagi melancarkan misi bantuan NGO itu,” katanya. – UTUSAN ONLINE