PASIR PUTEH: Terkesan dengan bayaran gaji tidak menentu akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seorang jurutera bertekad berhenti kerja dan memilih mencari rezeki sebagai pengusaha keropok lekor.
Berkongsi cerita kepada Utusan Malaysia, Mohd. Syamsyuri Zakaria, 30, berkata, dia sebelum ini berkhidmat dengan sebuah syarikat swasta di Pulai Chondong, Machang dengan gaji bulanan lumayan selama lima tahun.
Pandemik Covid-19 dan PKP bermula Mac tahun lalu bagaimanapun mengubah segalanya apabila majikan hanya mampu membayar gaji secara harian, bergantung kepada operasi kerja dijalankan.
“Saya bertekad berhenti kerja dan jadi pengusaha keropok lekor, berbekalkan kemahiran membuat keropok lekor yang dipelajari di Kampung Losong, Terengganu sebelum saya menjejak kaki ke universiti,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Pada awalnya, Mohd. Syamsyuri membuat keropok lekor di rumahnya di Kampung Kedai Menanti dan perniagaannya berkembang dalam tempoh singkat sehingga berjaya membuka pusat jualan sendiri, Keropok SZ Bukit Abal, di sini sejak Ogos tahun lalu.
Katanya, selepas memanfaatkan platform jualan secara dalam talian, lebih 10,000 unit produk keluarannya merangkumi keropok lekor, keropok losong, keropok krispi, bebola ikan dan pencicah khas dipasarkan sepanjang tahun ini.
“Syukur perniagaan ini maju dalam usia setahun jagung. Permintaan jualan dalam talian sangat memberangsangkan,” katanya.