PORT DICKSON: Sebanyak 20 juraian meteor Geminids dapat dilihat setiap jam menerangi angkasa Port Dickson bermula pukul 1 pagi hingga 6 pagi tadi.
Ketua Unit Baitul Hilal, Muzamir Mazlan berkata, ia selepas pihaknya melaksanakan cerapan meteor berkenaan selama dua malam berturut-turut.
“Cerapan meteor Geminids pada pagi ini agak baik. Jika pada tahun-tahun sebelum ini langit tidak secantik ini.
“Fenomena hujan meteor Geminids berlaku pada bulan Disember setiap tahun ketika musim Monsun Timur Laut,” katanya kepada pemberita di Balai Cerap Baitul Hilal, Telok Kemang di sini.
Menurut Muzamir lagi, keunikan hujan meteor ini ialah orang ramai boleh menyaksikan jaluran hujan cahaya yang terang melintas dengan jumlah yang banyak.
“Juraian meteor tanpa menggunakan teleskop melalui satu arah sahaja. Hanya dengan melihat menggunakan mata kasar dan boleh mengambil gambar guna kamera DSLR,” katanya.
Meteor Geminids merupakan juraian meteor yang banyak, di mana ia akan muncul dari kawasan buruj Gemini dan dipanggil Geminids.
Kemuncak meteor Geminids berlaku pada 13 dan 14 Disember setiap tahun.
Terdapat beberapa lokasi yang sesuai di daerah untuk melihat meteor seperti di Jeti Teluk Pelandok, Sungai Sekawang, Kampung Orang Asli Bukit Kepong dan Hutan Lipur Pasir Panjang. -UTUSAN ONLINE